Monsun Timur Laut: Ubah persepsi fenomena biasa, buat persediaan awal terutama penilaian risiko
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Persepsi menganggap banjir sebagai perkara biasa yang berlaku setiap tahun perlu diubah, terutama mengambil kira corak hujan kini yang semakin ekstrem dan sukar dijangka.
Pengarah Pusat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTMCCS), Prof Dr Mohd Fadhil Md Din, berkata perubahan corak menyebabkan hujan sangat lebat melanda dalam tempoh singkat, sekali gus mencetus banjir kilat dan arus deras walaupun di kawasan yang sebelum ini jarang terjejas.
Malah, beliau berkata tahap bencana bukan ditentukan hujan semata-mata, sebaliknya juga keupayaan sistem saliran, perubahan guna tanah serta tahap kesiapsiagaan masyarakat dan agensi.
"Oleh itu, pendekatan paling selamat ialah menganggap setiap musim Monsun Timur Laut sebagai berisiko tinggi dan membuat persediaan awal, bukan menunggu bencana berlaku," katanya kepada BH.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini dilapor menjangkakan Monsun Timur Laut 2025/2026 bermula esok dan berterusan sehingga Mac tahun depan dengan sepanjang tempoh itu lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku.
Mohd Fadhil dalam pada itu menyarankan orang ramai melakukan persiapan awal termasuk mengenal pasti tahap risiko rumah masing-masing, sama ada kawasan itu pernah dinaiki air serta paras maksimum banjir terdahulu.
"Setiap isi rumah perlu menyediakan beg kecemasan yang mengandungi dokumen penting, ubat-ubatan, pakaian, makanan kering, lampu suluh dan 'power bank' dalam bekas kalis air.
"Pantau amaran cuaca dan paras sungai daripada agensi rasmi dan jika kawasan anda sering banjir, pindahlah awal, jangan tunggu air naik," katanya.
Beliau turut komuniti setempat seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), surau, masjid dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan mengaktifkan peranan masing-masing dengan menyusun senarai warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta laluan pemindahan dan titik berkumpul jika berlaku kecemasan.
Selain itu, Mohd Fadhil menasihatkan orang ramai menjauhi kawasan berisiko tinggi sepanjang MTL, termasuk kawasan rekreasi sungai, air terjun dan jeram yang mudah terdedah kepada fenomena kepala air.
"Elak juga berkhemah di tebing sungai, dataran banjir dan kaki bukit, serta jangan lintas jambatan sempit ketika arus kuat. Prinsip mudah jika ragu, jangan lintas," katanya.
