Jangan biar REE jadi ‘emas baharu’ hanya untungkan segelintir pihak
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen bebas, Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi mengingatkan kerajaan supaya tidak membiarkan sumber mineral nadir bumi (REE) menjadi ‘emas baharu’ yang hanya menguntungkan segelintir pihak.
Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan berlaku sedangkan rakyat menanggung kesan pencemaran dan ketirisan hasil negara.
Katanya, Malaysia perlu muncul sebagai pengeluar mineral yang lestari dengan pengurusan berpaksikan sains dan teknologi bagi memastikan manfaat kekayaan semula jadi itu benar-benar dirasai oleh rakyat.
“REE adalah anugerah besar bumi Malaysia, namun nilainya hanya akan dinikmati rakyat sekiranya diurus dengan ilmu, integriti dan tanggungjawab.
“Jangan biarkan REE menjadi ‘emas baharu’ yang hanya menguntungkan segelintir pihak, sedangkan rakyat menanggung kesannya,” katanya ketika membahaskan peringkat Jawatankuasa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di Dewan Rakyat, hari ini.
Zulkafperi berkata, Malaysia mempunyai potensi besar dalam perlombongan REE jenis Ion Absorption Clay yang banyak ditemui di negeri Kelantan, Perak dan Pahang, namun kegiatan itu berisiko tinggi terhadap pencemaran air dan tanah sekiranya tidak dikawal dengan teliti.
“REE bukan bahan mineral biasa. Ia mengandungi elemen bernilai tinggi yang penting untuk industri berteknologi tinggi.
“Oleh itu, mekanisme pelesenan dan sistem pemantauan perlu kukuh supaya setiap tan bahan mineral yang dilombong dapat dijejaki dan tidak bocor ke pasaran gelap,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan memperkukuh peranan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dari segi kepakaran teknikal serta penguatkuasaan bagi memastikan sektor perlombongan negara diurus secara beretika.
Menurutnya, Malaysia tidak boleh mengulangi kesilapan lampau sebagai pengeksport bahan mentah semata-mata, sebaliknya perlu membangunkan rantaian nilai penuh industri REE termasuk loji pemprosesan dan penapisan bagi meningkatkan nilai tambah ekonomi negara.
“Sudah tiba masanya Malaysia beralih daripada ekonomi berasaskan eksport bahan mentah kepada ekonomi mineral strategik berasaskan inovasi tempatan.
“Langkah ini akan membolehkan Malaysia menjadi pemain utama dalam pengeluaran bahan berteknologi tinggi seperti magnet, bateri kenderaan elektrik dan cip semikonduktor,” katanya.
Beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap pengurangan lebih 50 peratus peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) mineral yang boleh menjejaskan kemampuan negara memahami potensi sebenar sektor tersebut.
“Pada masa negara sedang giat membangunkan industri nadir bumi, pelaburan dalam R&D sepatutnya ditingkatkan, bukan dikurangkan,” katanya. – UTUSAN
