PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

MetMalaysia ingatkan orang ramai berwaspada musim tengkujuh

MetMalaysia ingatkan orang ramai berwaspada musim tengkujuh

MIRI, 12 Nov: Orang ramai di Sarawak dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah persediaan menghadapi musim monsun timur laut (MTL) yang bakal membawa peningkatan hujan serta risiko banjir di beberapa kawasan rendah.

Pengarah Pejabat Meteorologi Sarawak, Khairul Najib, berkata walaupun musim MTL secara rasmi bermula pada 13 November dan dijangka berterusan hingga Mac 2026, kesan ketara di Sarawak dijangka hanya akan dirasai pada penghujung Disember atau awal Januari tahun depan.

“Bagi kita di Sarawak, kesan lebih jelas lazimnya muncul lewat Disember atau awal Januari. Namun, masyarakat perlu peka terhadap perubahan cuaca harian dan elakkan aktiviti luar pada lewat petang kerana hujan masih kerap berlaku,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.

Beliau menasihatkan penduduk supaya sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web MetMalaysia (www.met.gov.my), aplikasi myCuaca atau saluran rasmi media sosial MetMalaysia bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih.

Khairul turut mengingatkan penduduk di kawasan rendah serta berhampiran sungai agar bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir dengan memastikan dokumen penting disimpan di tempat selamat dan mematuhi arahan pemindahan jika dikeluarkan pihak berkuasa.

“Kita juga menasihatkan agar orang ramai lebih berhati-hati semasa berada di kawasan sungai atau pantai. Setakat ini belum ada tanda-tanda angin kencang atau laut bergelora, namun keadaan boleh berubah apabila monsun bertambah stabil,” jelasnya.

Menurut beliau, amaran berkaitan angin kencang atau laut bergelora akan dikeluarkan sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal bagi memberi ruang kepada masyarakat, nelayan dan pihak berkaitan membuat persediaan.

Musim monsun timur laut atau ‘landa season’ lazimnya dikaitkan dengan hujan berterusan yang boleh mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh di beberapa kawasan di Sarawak.

MetMalaysia menegaskan, kesiapsiagaan dan maklumat tepat merupakan kunci utama bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sepanjang tempoh tengkujuh kali ini.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search