PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Bangunan baharu SK Ulu Merapok akan dibina atasi masalah banjir

LAWAS, 27 Okt: Pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Merapok di sini amat penting bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta mengatasi masalah banjir yang sering melanda kawasan berkenaan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tapak baharu bagi pembinaan sekolah itu telahpun disediakan oleh kerajaan negeri.

“Kita sudah memperoleh tanah untuk membina sekolah baharu. Insya-Allah, saya akan terus berusaha memastikan pembinaan sekolah ini dapat direalisasikan. Kuarters guru juga sudah dibina menggunakan peruntukan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

“Lokasi sedia ada tidak lagi sesuai kerana kerap dilanda banjir. Kita mahu anak-anak tidak terus berdepan kesulitan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Pusat Khidmat Mini Ulu Merapok dan tapak pembinaan culvert di Surau Kampung Sasa, Ulu Merapok, hari ini.

SK Ulu Merapok ketika ini sering berdepan banjir kilat, manakala bangunannya juga tidak lagi sesuai digunakan bagi sesi pembelajaran semasa.

Kerajaan Sarawak melalui NRDA sebelum ini telah menyiapkan bangunan kediaman guru di tapak baharu yang turut dicadangkan bagi pembinaan kompleks sekolah berkenaan.

Mangsa banjir di Kedah kembali meningkat kepada 1,047

ALOR SETAR: Mangsa banjir di Kedah kembali meningkat kepada 1,047 orang daripada 311 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah setakat jam 8 malam tadi.

Jumlah itu meningkat, berbanding 915 mangsa daripada 267 keluarga yang dilaporkan sebelum ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah dalam kenyataan memaklumkan, dua PPS baharu dibuka di daerah Pendang iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Intan Shafinaz yang dibuka jam 4 petang menempatkan 133 mangsa daripada 35 keluarga.

Ini menjadikan jumlah PPS di daerah itu yang aktif adalah tiga termasuk dua daripadanya di PPS Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah dan SK Ayer Puteh.

Sementara itu, di daerah Kota Setar, sebuah lagi PPS baharu dibuka jam 2.30 petang tadi di SK Haji Idris yang menempatkan 101 mangsa daripada 25 keluarga.

 

Berikutan itu, PPS di daerah Kota Setar menjadi dua yang aktif termasuk 230 mangsa daripada 67 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Taman Aman.

Di daerah Pokok Sena, mangsa banjir yang masih ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna 116 orang daripada 33 keluarga.

Mangsa banjir yang ditempatkan di satu PPS di daerah Kulim iaitu di SK Merbau Pulas adalah 56 mangsa.

Dalam itu, Info Public Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, Sungai Pendang masih mencatatkan aras sungai melepasi tahap bahaya manakala Sungai Padang Terap di Kepala Batas daerah Kubang Pasu melepasi tahap amaran.

Dua lagi sungai iaitu masing-masing di Kubang Pasu dan Pendang mencatatkan aras sungai melepasi tahap waspada setakat jam 7 malam tadi.

1,514 mangsa banjir di Perak dan Kedah masih berlindung di PPS

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Seramai 1,514 orang mangsa banjir di Perak dan Kedah masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat malam ini.

Di PERAK, keadaan banjur dilaporkan beransur pulih apabila di tiga daerah terus menurun kepada 467 orang daripada 136 keluarga berbanding 603 orang daripada 183 keluarga pada petang tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, jumlah mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) kekal seramai 27 orang daripada tujuh keluarga.

Sementara itu, 288 orang daripada 83 keluarga masih ditempatkan di PPS SK Sungai Batu, Sekolah Agama Rakyat Padang Serai dan SK Pantai Remis di daerah Manjung.

Bagi daerah Kerian, seramai 152 orang daripada 46 keluarga masih berlindung di Dewan Serbaguna Gunung Semanggol dan SK Parit Haji Aman.

Satu lagi PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Layang-Layang Kiri, Parit di daerah Perak Tengah ditutup sepenuhnya pada 5.30 petang tadi selepas semua 110 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 1,047 orang daripada 311 keluarga malam ini, berbanding 915 orang daripada 267 keluarga petang tadi, dengan kesemuanya ditempatkan di tujuh PPS.

Menurut JPBN Kedah, daerah Pendang merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 544 orang daripada 150 keluarga berlindung di tiga PPS iaitu Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah, SK Ayer Puteh serta SK Tunku Intan Shafinaz yang dibuka pada 4 petang tadi.

Di Kota Setar, seramai 331 orang daripada 92 keluarga ditempatkan di SK Taman Aman dan SK Haji Idris yang dibuka pada 2.30 petang tadi.

Sementara itu, di daerah Kulim, 116 orang daripada 33 keluarga berlindung di PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena manakala 56 orang daripada 36 keluarga berada di SK Merbau Pulas.

Menurut laman sesawang Public Infobanjir, Sungai Pendang di Pendang melepasi paras bahaya dengan bacaan 3.49 meter (m), manakala Sungai Padang Terap di Kubang Pasu melepasi paras amaran pada 3.67m. -TVS

Myanmar mesti patuh

KUALA LUMPUR: ASEAN memberi amaran keras kepada junta Myanmar supaya segera menghentikan segala bentuk penindasan dan kezaliman terhadap rakyat negara itu selaras tuntutan Konsensus Lima Perkara (5PC) yang dipersetujui blok serantau berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekira­nya pihak junta mematuhi gesaan tersebut, ASEAN bersedia me­nyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana gempa bumi yang baru-baru ini melanda wilayah Sagaing, Myanmar.

“Susulan kejadian gempa bu­mi baru-baru ini, ketika saya bertemu beliau (Ketua junta, Je­neral Kanan Min Aung Hlaing) di Bangkok, saya tegaskan komitmen ASEAN menyalurkan semua bantuan kemanusiaan yang diperlukan, tertakluk kepada dua syarat.

“Pertama, gencatan senjata dilaksanakan segera dan kedua, bantuan kemanusiaan, termasuk hospital medan dan petugas perubatan kami di Myanmar, diberiakses penuh tanpa halangan,” katanya.

Anwar berkata demikian da­lam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini semalam.

Anwar bagaimanapun memuji Aung Hlaing bersetuju dengan perkara ini dan sepanjang setahun lalu, sedikit kemajuan mengenainya dapat disaksikan walaupun terdapat aduan mengenai beberapa kejadian tembakan.

Krisis Myanmar terus berlarutan sejak tentera menggu­lingkan kerajaan sah Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) pada 1 Februari 2021, sehingga menyebabkan ribuan nyawa terkorban dan jutaan rakyat menjadi pelarian.

Susulan itu, pemimpin ASEAN sebelum ini mengadakan mesyuarat tergempar dan menerima pakai Konsensus Lima Perkara yang antara lain menuntut penghentian segera keganasan, rundingan politik inklusif dan pemberian akses bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.

Sebelum ini, Menteri Luar ASEAN dalam kenyataan kelmarin, menggesa Myanmar untuk menghentikan keganasan dan mengadakan dialog politik inklusif sebelum pilihan raya pada Disember ini.

Ia demi memastikan proses demokrasi berjalan secara bebas, adil serta mematuhi Konsensus Lima Perkara.

Menurut kenyataan itu, ASEAN mengambil maklum rancangan Myanmar untuk mengadakan pilihan raya umum dan jemputan yang telah diberikan kepada negara anggota ASEAN untuk menghantar pemerhati pilihan raya.

Katanya, ASEAN menekankan kepentingan agar pilihan raya perlu dijalankan secara bebas, adil, aman, telus, inklusif dan berwibawa.

“Kami menyeru pengukuhan kerjasama antara anggota ASEAN dan rakan luar terma­suk negara jiran Myanmar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan tujuan menyokong usaha menangani krisis di Myanmar.

“Kami juga menyeru Myanmar untuk memerangi jenayah rentas sempadan yang berpunca daripada konflik tersebut, termasuk pemerdagangan manusia, pengedaran dadah, perpindahan penduduk, ancaman siber, penipuan dalam talian, dan risiko keselamatan lain,” katanya.

Setakat ini, Myanmar kekal sebagai anggota ASEAN, namun pemimpin junta tidak dibenarkan menyertai mana-mana mesyuarat blok itu sejak rampasan kuasa pada 2021.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada sidang akhbar sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di sini, semalam berkata, junta tentera Myanmar perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap konflik ketenteraan yang masih berlarutan tanpa sebarang penyelesaian, berikutan secara prinsip, PBB tidak boleh mencampuri urusan dalaman sesebuah negara.

Beliau turut menggesa agar proses pilihan raya di Myanmar dijalankan secara adil dan bebas bagi memastikan kestabilan serta keamanan jangka panjang di negara berkenaan. – UTUSAN

 

 

 

 

AI mampu tangani bencana alam?

BENCANA alam merupakan suatu tragedi yang memberi impak yang sangat besar kepada negara dan masyarakat. Kehilangan nyawa dan harta benda, kerosakan tempat tinggal dan infrastruktur merupakan antara bahana yang terpaksa dihadapi setiap kali berlaku bencana alam.

Jabatan Perangkaan menerusi Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia pada 2023 menunjukkan negara mencatatkan kerugian RM755.4 juta bersamaan 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Walaupun Jabatan Perangkaan memaklumkan pengurangan RM271 juta berbanding bencana pada 2022, jumlah kerugian terbabit masih menjadi jumlah besar dan menuntut tindakan serta penyelesaian pantas dan efisien.

Hujan lebat merupakan antara fenomena saban tahun yang terpaksa ditempuh oleh masyarakat khususnya yang berada di sekitar wilayah Pantai Timur.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) telah mengeluarkan ramalan akan berlakunya fenomena La Nina yang akan melanda Malaysia bermula Oktober hingga Disember tahun ini, seterusnya memberi persoalan dan tugasan besar kepada agensi berkaitan pengurusan bencana alam, adakah kita sudah bersedia menghadapi sekali lagi tragedi sebegini pada tahun ini? Apakah pembaharuan dan langkah terbaik yang mampu diadaptasi berbanding pada tahun sebelumnya?

Pertembungan Teknologi
Kejadian bencana sememangnya suatu perkara yang berlaku sama ada disebabkan oleh lumrah perubahan alam, ataupun berpunca daripada tangan-tangan yang merosak ekosistem alam tanpa pengawasan dan kawal selia yang sepatutnya.

Revolusi teknologi melalui penggunaan komputer membolehkan proses pendigitalan data serta integrasi pengesan berjaya direalisasikan. Sistem amaran awal bencana berasaskan pengesan seperti sistem amaran aras air sungai automatik, radar cuaca dan sistem pengesanan awal berasaskan satelit (METEOSAT, NOAA) yang digunakan untuk memantau awan ribut dan hujan lebat serta sistem GIS (Geographic Information System) yang membolehkan peta bencana dihasilkan secara digital bagi analisis risiko banjir atau tanah runtuh.

Dengan berkembangnya penggunaan dan potensi internet sebagai medium perhubungan dan perkongsian data, pengesanan dan amaran bencana dapat dijalankan dengan lebih pantas dan dalam masa nyata.

Penggunaan media sosial dan portal rasmi agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Met Malaysia membolehkan notifikasi masa nyata menyebar luas kepada warga setempat. Pemetaan awan dan imej satelit resolusi tinggi yang dihasilkan oleh Google Earth juga membantu dalam penilaian kawasan bencana secara visual dan pantas.

Meskipun adaptasi teknologi telah terbukti membantu pengurusan bencana alam yang lebih sistematik dan berkesan, negara kita masih tidak mampu mengelak pelbagai kejadian tragik yang telah meragut nyawa.

Peristiwa seperti banjir kilat di kawasan pedalaman dan tanah runtuh di kawasan awam menjadi suara alam yang menghantar mesej yang jelas, iaitu kerosakan yang berpunca daripada kecuaian serta kerakusan manusia dalam mengejar kemajuan dan keuntungan semata akan terus berlaku waima teknologi digunakan untuk mencegah kejadian yang sama berulang.

Sebagai contoh, pembalakan hutan secara besar-besaran tanpa reforestasi menyebabkan hilangnya kawasan tadahan air dan kestabilan tanah. Teknologi ramalan banjir dan tanah runtuh sukar berfungsi secara tepat dan berkesan disebabkan oleh adanya faktor luaran yang merubah landskap tanah dengan drastik.

Selain itu, pembinaan kawasan perumahan dan perindustrian tanpa mengikut piawaian yang betul turut mengundang kepada mudahnya berlaku fenomena banjir kilat. Tanpa kajian geoteknik yang terperinci, projek pembangunan yang dijalankan secara semberono berpotensi menyumbang kepada tanah runtuh dan hakisan tebing sungai secara mendadak.

Sistem pengurusan bencana alam bakal melemah akibat daripada sistem amaran awal banjir yang menjadi kurang efektif kerana sungai tidak lagi mempunyai kapasiti semula jadi. Ini adalah contoh bagaimana aktiviti manusia yang tidak terkawal mampu meruntuhkan ekosistem adaptasi teknologi yang asalnya mampu memberikan pencegahan awal terhadap bencana alam yang bakal berlaku.

Kecerdasan Buatan
Pembangunan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) telah terbukti memberi impak yang besar dalam pelbagai disiplin seperti pendidikan, pertanian dan perindustrian berskala besar. Mengambil manfaat positif AI yang boleh dilatih serta berupaya berkembang pesat, AI mampu menyokong sistem pengurusan bencana negara serta mengawal aktiviti pembangunan berisiko tinggi. Bagi memantau aktiviti penebangan hutan tidak terkawal, adaptasi AI serta penderiaan jarak jauh (remote sensing) berupaya mengesan perubahan luar biasa litupan hutan secara automatik.

Kaedah ini mampu mengenal pasti aktiviti pembalakan haram dan memelihara status hutan simpan negara, walaupun dalam kawasan terpencil. Penggunaan teknologi sebegini membolehkan agensi dan penguatkuasa berkaitan mengambil tindakan pantas untuk membendung penebangan hutan tidak terkawal, serta meramal kebarangkalian berlakunya kesan susulan seperti fenomena tanah runtuh dan banjir kilat.

Selain itu, aplikasi AI serta integrasi dengan teknologi dron membolehkan pemetaan titik panas berisiko tinggi seperti kawasan lereng bukit, kawasan saliran dan takungan air serta zon banjir dapat dilakukan.

Pemetaan sistematik ini membolehkan pihak berkuasa memantau dan menguatkuasakan larangan pembangunan projek di kawasan berisiko tinggi. Pemantauan menggunakan dron juga boleh dilakukan untuk memastikan pemaju mematuhi garis panduan pembangunan.

Kesedaran
Sesungguhnya, penggunaan pelbagai teknologi dan inovasi untuk mengurus fenomena dan bencana alam bukan hanya terletak kepada penguat kuasa dan agensi penyelamat. Sebaliknya, kesedaran akan bahaya dan impak pelbagai fenomena alam perlu sampai kepada masyarakat umum.

Fenomena di kawasan rekreasi sungai dan pantai seperti fenomena kepala air, arus pusar dan arus karau saban tahun meragut ratusan nyawa dek kerana kurangnya kesedaran tentang kejadian sebegini.

Bermula dengan kesedaran am tentang bagaimana fenomena ini berlaku, masyarakat akan lebih mudah memahami langkah pencegahan awal yang boleh dilakukan seperti melihat tanda-tanda berlakunya arus karau di kawasan pantai yang boleh menghanyutkan mangsa dengan tidak disangka.

Dengan pembangunan teknologi dan inovasi berasaskan pengesan pintar serta integrasi amaran awal dan pemantauan data, kejadian arus sebegini boleh diramal dan dikesan lebih awal, seterusnya langkah pencegahan dan penyelamatan efektif mampu diterjemahkan.

Sinergi kesedaran dan aplikasi teknologi bermula daripada masyarakat awam mampu merealisasikan pengurusan bencana alam yang lebih sistematik, demi keselamatan awam yang lebih terjamin. – UTUSAN

PROFESOR Madya Ts. Dr. Abdul Nasir Abd. Ghafar merupakan pensyarah kanan di Fakulti Teknologi Elektrik dan Elektronik, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

 

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search