Hujan berterusan tahap bahaya di empat negeri, Putrajaya hingga Sabtu ini
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di empat negeri, iaitu Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang dijangka berlarutan hingga Sabtu ini.
Dalam hantaran Facebook dikeluarkan pada 10 malam tadi, menurut MetMalaysia kawasan terbabit ialah Terengganu (Kemaman), Pahang (Maran, Kuantan dan Pekan), Selangor (Klang, Kuala Langat dan Sepang), Negeri Sembilan (Seremban dan Port Dickson) serta Putrajaya.
Selain itu, amaran hujan berterusan tahap buruk turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Perak (Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun).
Turut terbabit Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Bera dan Rompin) serta di Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat).
Amaran sama turut merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin), Melaka dan Johor (Tangkak, Segamat dan Muar).
MetMalaysia juga mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada meliputi kawasan di Kedah (Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar), Kelantan serta Johor (Batu Pahat, Kluang dan Mersing).
Berikutan itu orang ramai dinasihatkan sentiasa peka terhadap amaran semasa dan mengikuti maklumat terkini melalui laman web rasmi serta saluran media sosial agensi itu.
