PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Siap sedia hadapi bencana

DALAM tempoh lima tahun kebelakangan ini, Malaysia berdepan dengan pelbagai tragedi bencana alam yang menguji daya tahan negara. Baik dari banjir besar di Pahang dan Johor, tanah runtuh di Batang Kali, sehinggalah kejadian ribut serta gelombang haba yang menjejaskan kehidupan ribuan rakyat.

Bencana demi bencana ini bukan sekadar statistik atau laporan di media, tetapi cerminan kepada ujian ketahanan fizikal, mental dan spiritual seluruh warga Malaysia. Ia juga menjadi peringatan bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan lagi pilihan, tetapi tuntutan kehidupan moden yang semakin mencabar.

Dalam menghadapi dugaan alam, masyarakat tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan logistik dan aset semata-mata. Aspek spiritual dan kemanusiaan turut memainkan peranan besar dalam membentuk ketenangan dan kekuatan dalaman sewaktu musibah melanda.

Kekuatan iman, nilai sabar dan rasa tanggungjawab sesama insan menjadi benteng utama apabila bencana datang tanpa amaran. Justeru, peranan agamawan dan ilmuwan amat penting dalam memupuk kefahaman bahawa menghadapi bencana juga adalah sebahagian daripada ibadah. Ia satu medan untuk manusia saling membantu dan memperkukuh ukhuwah.

Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Negara (BKN) 2025 yang dilancarkan baru-baru ini bukan sekadar perhimpunan tahunan, bukan sekadar simbolik. Ia adalah isyarat nasional bahawa kesiapsiagaan mesti menjadi budaya rakyat Malaysia dari kementerian hingga komuniti, dari pemimpin hingga rakyat biasa.

Hanya dengan itu, Malaysia akan kekal selamat, tangkas dan bersedia menghadapi apa jua kemungkinan.

Antara inisiatif sempena BKN 2025 yang digerakkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) ialah menerusi program Rehlah Perdana diadakan di Masjid Tengku Ahmad, Taman LKNP, Jerantut, Pahang.

Majlis yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu adalah manifestasi semangat kebersamaan dalam membina kesiapsiagaan nasional berteraskan hikmah dan nilai keagamaan.

Ia menggabungkan pengisian rohani, latihan komuniti dan sesi perkongsian ilmu bagi memperkukuh kefahaman bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab terhadap keselamatan diri dan masyarakat.

Ibadah di sebalik kesiapsiagaan
Kata-kata Maulana Helmi, Pengasas Madrasah An-Nabawiyyah Lid Dirasatil Islamiyyah Pulau Tawar, yang turut hadir dalam program itu, cukup mendalam maknanya. Katanya, setiap daripada kita memiliki peranan dalam membina keselamatan ummah. Ilmuwan menyumbang dengan ilmunya, agamawan dengan dakwahnya, pemimpin dengan amanahnya, dan para petugas Nadma dengan pengorbanannya.

Menurut Ahmad Zahid, usaha mereka tidak wajar dipandang kecil kerana menyelamatkan nyawa dan bersiap siaga sebelum bencana melanda itulah juga ibadah yang besar pahalanya di sisi Allah.

“Ungkapan ini mengingatkan kita bahawa tugas-tugas kemanusiaan bukan sekadar kerja teknikal, tetapi amanah spiritual yang menjanjikan ganjaran besar. Petugas di lapangan, sukarelawan, imam, guru, dan pemimpin masyarakat, semuanya memainkan peranan tersendiri dalam menghidupkan semangat ukhuwah insaniyyah,” katanya.

Membina masyarakat siaga dan berjiwa ihsan
Namun, dari setiap tragedi lahir kisah kemanusiaan yang menyentuh hati, kisah anggota penyelamat yang sanggup bergadai nyawa, jiran yang membantu tanpa mengira agama, serta komuniti masjid dan gereja yang membuka ruang sebagai pusat perlindungan sementara.

Inilah wajah sebenar Malaysia, masyarakat yang berjiwa besar, bersatu dalam ujian, dan sentiasa belajar memperbaiki diri untuk masa depan yang lebih siaga dan berdaya tahan.

Menyedari ancaman bencana yang semakin kompleks akibat perubahan iklim global, Nadma terus memperkukuh dasar dan latihan kesiapsiagaan melalui pendekatan bersepadu antara agensi kerajaan, komuniti dan institusi agama.

Dalam konteks ini, pendekatan spiritual seperti yang diterapkan dalam program Rehlah Madani Siaga memberi makna yang lebih mendalam, bahawa kesiapsiagaan bukan sekadar urusan logistik, tetapi juga proses mendidik hati agar sentiasa reda, sabar, dan bersedia menghadapi takdir dengan usaha dan doa.

Kesiapsiagaan bencana
Di samping aspek spiritual, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat telah menggembleng usaha bersama bagi memberi tumpuan segera kepada persiapan dan kesiapsiagaan Kerajaan Madani dalam menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.

Beliau telah mengarahkan supaya Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di semua peringkat diaktifkan lebih awal bagi memastikan pemantauan dan koordinasi berjalan lancar sebelum bermulanya MTL.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan MTL 2025/2026 bermula awal November 2025 hingga penghujung Mac 2026, dan akan dipengaruhi oleh fenomena La Niña lemah. Keadaan ini membawa antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan, melebihi purata biasa lima episod setiap musim.

Negeri Sabah dijangka mengalami hujan melebihi paras purata dari November 2025 hingga Februari 2026, manakala kemuncak hujan dijangka pada Disember 2025, melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Risiko banjir besar akan meningkat sekiranya hujan berterusan berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar. Oleh itu, MET Malaysia akan mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada, Buruk, Bahaya) sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal bagi membolehkan tindakan pantas dilaksanakan.

Dari aspek persediaan mitigasi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengesahkan terdapat pengurangan ketara lokasi panas (hotspot) banjir daripada 4,619 lokasi (2024) kepada 3,682 lokasi (2025) menunjukkan perkembangan positif hasil daripada pelaksanaan projek mitigasi kerajaan.

“Walaupun begitu, kita tidak boleh menafikan bahawa pembangunan pesat masih menyumbang kepada risiko banjir. Maka komitmen negeri amat diperlukan untuk memastikan usaha pencegahan banjir dapat dilaksanakan secara berkesan,” kata Ahmad Zahid.

Pada masa sama, kerajaan menubuhkan sebuah Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) di daerah Jerantut, Pahang sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana di peringkat komuniti.

Projek ini dijangka dimulakan pada tahun depan dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi teknikal berkaitan. Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga melaporkan sebanyak 110 kejadian tanah runtuh di Pantai Barat Sabah telah berlaku sehingga 19 September 2025 yang telah mengorbankan 13 nyawa.

Sejumlah 34 lokasi cerun kritikal berisiko tinggi kini dipasang dengan Sistem Amaran Awal (EWS) bencana geologi tanah runtuh.

“Saya telah memberi mandat kepada JMG sebagai penyelaras pemantauan cerun berisiko di seluruh negara serta perlu kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain dan juga pihak swasta,” katanya.

Bencana mungkin datang tanpa diduga, namun cara kita bersedia dan bertindak menentukan kekuatan bangsa. Di sebalik setiap bencana, ada hikmah yang mengajar kita untuk lebih bersyukur, lebih bersiap siaga, dan lebih bersatu sebagai satu ummah. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Putrajaya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Mangsa banjir boleh buat laporan polis di PPS jika diarah berpindah - Ketua Polis Kedah

JITRA: Mangsa banjir di Kedah tidak perlu bimbang meninggalkan kediaman masing-masing jika diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, banjir kali ini membabitkan tujuh daerah di negeri ini iaitu Kubang Pasu, Kulim, Pendang, Padang Terap, Sik, Baling dan Pokok Sena.

Beliau juga sudah mengarahkan ketua polis daerah di kawasan terbabit banjir supaya menerima laporan polis di PPS bagi memudahkan mangsa berbuat demikian tanpa perlu ke balai polis.

"Laporan polis boleh dibuat terus kepada anggota polis yang ditempatkan di PPS untuk memudahkan mangsa banjir berurusan di situ tanpa perlu ke balai polis.

"Namun, kalau ada yang tinggal berdekatan nak buat laporan di balai polis tu terpulanglah cuma kita nak memudahkan mereka, terus buat laporan polis dengan anggota kita di PPS.

 

"Kepada mangsa banjir pula, bagilah kepercayaan kepada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta agensi berkaitan yang terbabit banjir.

"Ikut nasihat...kalau perlu pindah, pindahlah....yang penting keselamatan nyawa dan rumah serta harta benda yang ditinggalkan serah kami semua agensi penyelamat uruskan," katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, di sini hari ini.

Adzli berkata, setakat ini 19 PPS di tujuh daerah terbabit menempatkan seramai 1,934 orang daripada 610 keluarga susulan banjir yang melanda.

Beliau berkata, Polis Kedah menggunakan aset sebanyak 10 lori, bot, 10 van dan 70 pegawai dan anggota untuk operasi menyelamat banjir kali ini," katanya

Adzli berkata, Balai Polis Trafik Kulim turut terjejas banjir tetapi sudah pulih sepenuhnya setakat ini.

Terdahulu, Adzli merasmikan Majlis Penyerahan Lucut Hak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Majlis itu diadakan kali pertama oleh Kontinjen Kedah iaitu kenderaan yang digunakan dalam kes dadah mengikut Akta Seksyen 39B dilucuthak oleh pendakwa raya dan dilupuskan dengan cara serahan sebagai hadiah kepada institut pendidikan untuk digunakan sebagai peralatan pembelajaran di sekolah dan institut berkaitan yang mempunyai mata pelajaran berkaitan automotif.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Kedah, Abdul Rahim Mat dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Mahiri Hussin.

 

Banjir Pulau Pinang: Suria cemas dukung bayi redah banjir, Maimunah risau ancaman tedung selar

TASEK GELUGOR: Seorang suri rumah cemas meredah banjir paras paha sambil mendukung bayi perempuan berusia lima bulan menuju ke pusat pemindahan sementara (PPS) sejauh kira-kira 500 meter di Kampung Labuh Banting, di sini.

Suria Abdul Hadi, 34, berkata air mula naik jam 1 pagi kelmarin, namun dia tidak menyangka ia begitu cepat sehingga mencecah paras paha lalu membuat keputusan berpindah pada jam 11 pagi hari sama.

"Saya tak sangka air naik begitu pantas kerana rumah kami jenis bertiang tinggi. Bila lihat kawasan di sekitar rumah sudah dikelilingi air dan seolah-olah terkepung, kami ambil keputusan berpindah. Saya mendukung bayi, Amanda Lufia Muhammad Razmi.

"Suami dukung anak sulung berumur lapan tahun sambil bawa barang-barang. Lintah pun banyak masa itu," katanya ketika ditemui pada lawatan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid di PPS berkenaan, di sini hari ini.

Ibu dua anak itu pernah berdepan pengalaman jauh lebih teruk pada 2017 apabila banjir melepasi paras dada dan ketika itu, dia juga baru beberapa hari berpantang selepas melahirkan anak sulungnya.

 

"Kalau diikutkan, memang tiap-tiap tahun banjir kerana rumah kami berada di tepi sungai. Tahun ini, suami bina rumah lebih tinggi di sebelah rumah lama, tetapi tak sangka tetap dinaiki air," katanya.

Sementara itu, Maimumah Yaakub, 76, yang tidak boleh berjalan kerana kaki kanannya patah akibat terjatuh terpaksa dikendong anak lelakinya dan hanya sempat mencapai dokumen peribadi dan beberapa helai pakaian.

"Peti ais, mesin basuh, tikar dan tilam semua terendam air. Tak sempat buat apa-apa, nak berjalan pun tak boleh, semua tunggang langgang. Suami pula rabun, memang risau sungguh masa anak dukung redah banjir walaupun hanya paras lutut.

"Ini kerana kawasan rumah kami dalam kebun kelapa sawit dan sudah banyak kali jumpa ular tedung selar serta sawa," katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, kurang 10 peratus mangsa banjir di Pulau Pinang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dengan pemantauan masih dijalankan pihak berkuasa bagi memastikan keadaan benar-benar selamat dan terkawal.

Jumlah mangsa ditempatkan di semua tujuh PPS kekal 1,041 orang seperti semalam dengan tiada kesesakan dilaporkan di semua PPS yang dibuka di tiga daerah di negeri ini setakat ini.

"Semua PPS setakat ini memang penuh melebihi jangkaan kita, tapi tak sesak kerana ruang cukup untuk semua dan tidak melebihi kapasiti. Mudah-mudahan mereka dapat kembali ke rumah dalam tempoh terdekat, cuaca pun semakin baik dan banjir juga semakin surut," katanya.

Terdahulu, Mohamad meninjau dan menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi, Dewan Labuh Banting, SK Guar Perahu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir.

Mangsa membabitkan 287 keluarga meliputi daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Barat Daya. Seramai 791 penduduk daripada 218 keluarga berada di empat PPS di SPU, 220 daripada 60 keluarga di dua PPS di SPT dan 31 daripada sembilan keluarga di sebuah PPS di Barat Daya.

Bomba kesan 10 titik panas banjir di Tapah, Tanjung Malim

TAPAH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah mengenal pasti 10 lokasi hot spot (titik panas) sekitar Tapah dan Tanjung Malim yang berisiko berlakunya bencana banjir ekoran musim tengkujuh konsisten di negeri ini sekarang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Zon 4 Tapah, Khairul Anuar Mhd. Sayuti berkata, tujuh lokasi itu terletak di Tapah iaitu Kampung Batu 16 hingga Kampung Batu 3, Jalan Pahang dan Taman Perumahan Awam Batu 13 Temoh.

“Selain itu, Taman Orkid, Kampung Baru China Chenderiang, Kampung Pasir Temoh, Taman Saujana Indah, Tapah Road dan Kampung Rahmat, Bidor.

“Bagi daerah Tanjung Malim pula tiga lokasi iaitu Kampung Klah Baru Sungkai, Kampung Menderang, Sungkai dan Kampung Poh,” katanya kepada pemberita di Taman Tasik Temoh, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir berucap sebelum merasmikan Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti Sempena Persediaan Monsun Timur Laut (MTL) Zon 4 JBPM Perak Tahun 2025.

Penyerahan dua buah bot lengkap dengan peralatan serta enjin itu masing-masing setiap satu kepada Kampung Batu Masjid Tapah dan Kampung Menderang, Sungkai.

Ia berperanan sebagai langkah penyelamatan awal sekiranya berlaku bencana banjir dan kejadian kepala air di 10 lokasi titik panas tersebut.

Setakat ini, usaha awal telah dijalankan agensi kerajaan terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan ADUN kawasan terbabit seperti usaha mengorek dan mendalamkan sungai, parit dan pembinaan benteng (ban) banjir bagi mengurangkan risiko bencana tersebut di dua daerah ini.

Dalam pada itu, Khairul Anuar memaklumkan terdapat kira-kira 150 ahli bomba komuniti di Tapah dan Tanjung Malim yang merangkumi 25 pasukan berperanan memberikan bantuan awal segera kepada mangsa banjir sebelum ketibaan pasukan rasmi.

Sementara itu, Mohamad Yusri berharap kemudahan bot bomba itu dapat diselia dengan baik supaya dapat dimaksimumkan kegunaannya sekiranya berlaku bencana banjir di Tapah dan Tanjung Malim kelak. – UTUSAN

‘Scammer’ guna gambar rumah mangsa banjir raih simpati

BALING: Seorang mangsa banjir terkilan apabila gambar rumahnya yang ditenggelami air baru-baru ini disalahgunakan oleh individu tidak bertanggungjawab di media sosial bagi meraih simpati orang ramai.

Nor Amirah Abdul Muin, 39, berkata, dia dimaklumkan jirannya mengenai satu hantaran di Facebook yang memaparkan gambar rumahnya digenangi air bersama kapsyen seolah-olah meminta bantuan kewangan.

“Individu itu tidak tulis secara terang meminta derma, tetapi ayat yang digunakan nampak seperti hendak raih simpati. Dalam ruangan komen pula, apabila ditanya orang, dia mengaku kekurangan duit dan lapar,” katanya ketika ditemui di Kampung Haji Abas, semalam.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan ramai kenalan yang mengenali rumah berkenaan menghubunginya menerusi WhatsApp untuk bertanya sama ada dia benar-benar memerlukan bantuan.

“Ramai sangat yang tanya sampai saya rasa malu, sebab walaupun rumah kami berbelas kali dilanda banjir, kami tak pernah minta sumbangan daripada sesiapa pun,” katanya.

Katanya, individu terbabit menggunakan akaun palsu dan turut menyebarkan hantaran itu ke beberapa kumpulan Facebook berkaitan bantuan banjir.

 

“Saya tak kenal dia, cuma tahu abangnya orang kampung sebelah. Bila diminta padam hantaran itu, dia pula balas komen dengan sindiran dan provokasi, siap tulis nak ‘makan sup kaki saya’. Memang melampau, saya tak maafkan,” katanya.

Nor Amirah berkata, dia akan membuat laporan polis bagi mengelak kejadian sama berulang serta memberi pengajaran kepada pihak tidak bertanggungjawab yang mempermainkan nasib mangsa bencana. – UTUSAN




 
 
 
 
 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search