Malaysia alami suhu panas lebihi biasa
- Admin UKK
- Berita
Malaysia dijangka mengalami suhu panas melebihi paras biasa dengan kebarangkalian 70 peratus.
Ini berdasarkan kajian Pusat Ramalan Iklim APEC Climate Center di Busan, Korea Selatan yang meramalkan keadaan itu bakal melanda banyak kawasan di dunia, termasuk di Asia Tenggara dan Malaysia.
Pakar Klimatologi dan Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Dr Fredolin Tangang, berkata kebiasaan suhu meningkat pada bulan ini hingga April.
“Suhu tinggi semasa Mac hingga April ini kebiasaannya berlaku di seluruh negara tetapi mengikut trend lalu, negeri di utara Semenanjung akan mengalami cuaca yang lebih panas.
“Cuaca panas disumbang oleh beberapa faktor, iaitu bermulanya musim peralihan monsun dan kita akan mengalami Fenomena Equinox dijangka pada 21 Mac.
“Pengaruh peningkatan suhu akan dipengaruhi oleh pancaran matahari beberapa minggu sebelum dan selepas fenomena ini,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, menurut Pusat Ramalan Iklim di Amerika juga, bermula pada 2 Mac, Malaysia masih didominasi oleh kawasan perolakan terhalang disebabkan oleh fenomena Madden Julan Oscillation atau MJO.
“Keadaan ini menjadikan banyak kawasan yang kurang litupan awan akan meningkatkan penyerapan haba dan peningkatan suhu.
“Bagaimanapun, diramalkan keadaan perolakan terhalang ini akan digantikan dengan keadaan peningkatan perolakan yang boleh meningkatkan litupan awan dalam seminggu kemudian.
“Fenomena La Nina juga hampir berakhir dan mungkin tidak lagi mendatangkan kesan kepada rantau ini, termasuk Malaysia,” katanya.
BEAUFORT - Belum seminggu memulakan perniagaan di bazar Ramadan, hampir 100 peniaga di sini terpaksa menanggung kerugian akibat banjir teruk melanda di daerah ini.
Keadaan itu dikongsikan sendiri oleh peniaga menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok, yang menunjukkan keadaan tapak Tamu Beaufort lokasi mereka berniaga sejak 1 Ramadan lalu kini ditenggelami air.
Menurut salah seorang peniaga, air kini mencecah kira-kira 1.2 meter menyebabkan mereka tidak dapat beroperasi sejak tiga hari lalu.
"Ada peniaga yang baru membeli peralatan baharu untuk berniaga, tetapi semuanya rosak ditenggelami air. Meja, kanopi, malah tong gas juga ada hanyut dibawa arus.
"Paras air ketika ini menghampiri paras pinggang dan keadaan air masih bertahan," katanya ketika meninjau keadaan di sekitar Pekan Beaufort menggunakan perahu pada Isnin.
Banjir yang melanda bukan sahaja menjejaskan punca pendapatan peniaga, malah turut menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan dan kerosakan harta benda.
"Kasihan kami belum dapat balik modal tetapi sudah berhadapan dengan ujian ini. Apa boleh buat bencana alam berlaku," keluhnya.
Sejak beberapa hari lalu, penduduk di Beaufort dilanda banjir masing-masing menggunakan platform TikTok melaporkan situasi terkini keadaan di daerah itu.
Siaran 'live' tersebut sohor dan mendapat respons daripada rakyat Sabah sendiri yang turut bersimpati keadaan menimpa penduduk di daerah itu.
Malah ada sebahagian penduduk yang jauh dari kampung halaman dapat melihat sendiri keadaan semasa banjir termasuk meminta bantuan ahli keluarga yang terperangkap untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat jam 2 petang Isnin, seramai 4,279 penduduk di lima daerah terjejas akibat banjir yang dipindahkan ke PPS yang dibuka sejak beberapa hari lalu.
Jumlah itu melibatkan 1,411 ketua isi rumah (KIR) yang berada di Beaufort, Membakut, Keningau, Sook dan Tenom.
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengemukakan cadangan memanfaatkan air hujan supaya negara dapat menjamin bekalan air ketika kemarau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata arahan itu disampaikan Perdana Menteri dalam pertemuannya bersama pengurusan tertinggi PETRA hari ini.
"Perdana Menteri minta kita mengemukakan cadangan dalam tempoh dua minggu, apa yang boleh kita lakukan sebab negara kita banyak hujan tapi pada masa sama berlaku kemarau.
"Perdana Menteri minta kita bagaimana kita nak simpan air supaya boleh digunakan untuk waktu kemarau dan untuk masa depan," katanya ditemui selepas menghadiri Program Ihya Ramadan PETRA yang disempurnakan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Ditanya lanjut mengenai tempoh masa dua minggu yang diberikan Perdana Menteri, Fadillah berkata, kajian berkaitan perkara itu sebenarnya sudah berjalan dan kini sedang mengumpul maklumat untuk tindakan seterusnya.
"Kita akan kaji dan lihat apakah yang boleh kita laksanakan dari segi projeknya, dari segi tindakan yang perlu kita lakukan dan apa pun tindakan yang perlu dilakukan, kita memerlukan kerjasama di peringkat negeri," katanya.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai isu tenaga dalam pertemuan berkenaan dan mahu PETRA menangani isu dihadapi rakyat dan sektor perniagaan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Perdana Menteri mahu apa sahaja tarif yang kita tetapkan, tidak akan (menyusahkan rakyat), mengambil kira kedudukan rakyat kebanyakan dan juga PMKS," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menyertai kira-kira 300 warga PETRA pada Program Ihya Ramadan di Dewan Baiduri, Menara PETRA di sini.
Program Ihya Ramadan itu bertujuan sebagai wadah Perdana Menteri menyantuni warga PETRA di samping bersama memanfaatkan Ramadan dengan mengisi amalan kerohanian menerusi majlis ilmu yang penuh keberkatan.
Antara pengisian program adalah Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Nabil Ahmad yang juga penceramah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertajuk "Ramadan: Syukuri Nikmat Air dan Tenaga".
Perdana Menteri kemudiannya bersama warga PETRA menunaikan solat Zuhur secara berjemaah.
Dua jalan utama di Skrang dinaiki air
- Admin UKK
- Berita
SKRANG, 10 Mac: Dua jalan utama dinaiki air ekoran hujan lebat di sekitar Skrang.
Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu Leftenan Desem Samuel, antara yang terjejas sejak pagi tadi ialah jalan menuju ke Rumah Panjang Bunu dan Jalan Nanga Kumpang.
“Banjir di jalan menuju ke Rumah Panjang Bunu dicatatkan pada paras 0.31 meter dan hanya boleh dilalui kenderaan besar.
“Jalan Nanga Kumpang dilimpahi air setinggi setengah meter dan tidak boleh dilalui mana-mana kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun jelasnya, trend air di kedua-dua kawasan menunjukkan penurunan.
Tambah Desem, kejadian berlaku disebabkan hujan berterusan dalam tempoh masa yang lama.
Untuk banjir di Jalan Nanga Kumpang, hanya menjejaskan jalan raya utama dan penduduk di Rumah Panjang Danau, Kumpang dan Kandis mempunyai alternatif lain untuk keluar.
Bina rumah panjang lebih besar
- Admin UKK
- Berita
SIBU, 10 Mac: Kerajaan Sarawak komited untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar melalui inisiatif pembangunan lebih menyeluruh, dengan menumpukan aspek ekonomi, sosial, dan infrastruktur.
Adun Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang berkata, pelbagai peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) digerakkan untuk mempercepat proses pembangunan, terutama di luar bandar yang memerlukan perhatian dalam infrastruktur dan kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, peruntukan itu merupakan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan penduduk, terutama kawasan rumah panjang.
“Penduduk rumah panjang di sini terus berusaha keras merealisasikan impian membina rumah panjang lebih besar, lebih selamat, dan jauh daripada ancaman bencana banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap dalam Majlis Perasmian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Temawai Lama, Ulu Siong Kanan Rumah Periggie Agam, kelmarin.
Gira memberi jaminan akan terus memberikan sokongan penuh kepada penduduk di kawasan DUN Tamin.
Jelasnya, kemajuan dalam sektor komunikasi juga semakin dirasai, dengan kawasan Siong kini menikmati liputan rangkaian telekomunikasi lebih baik berbanding sebelumnya.
“Sehingga kini, 36 menara Telekom dibina di kawasan DUN Tamin, manakala hampir keseluruhan rumah panjang di kawasan ini menikmati bekalan elektrik,” jelas Gira.
Dalam program itu, Gira memperuntukkan RM255,000 kepada JKKK Temawai Lama, Ulu Siong, dengan RM100,000 disalurkan melalui Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) untuk membeli bahan binaan, manakala RM150,000 diperuntukkan untuk projek naik taraf tempat letak kereta melalui RTP.
Selain itu, RM5,000 turut diberikan kepada Biro Wanita di Rumah Periggie Agam. -TVS