GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan menyegerakan pembinaan baharu jambatan Sungai Balar yang terputus akibat banjir untuk kemudahan pejalan kaki dan pengguna motosikal.
JAKOA dalam kenyataannya berkata, jambatan yang terputus itu sudah termasuk dalam senarai perancangan untuk dibaik pulih bagi tahun ini.
Namun katanya, susulan kejadian yang berlaku pihaknya akan menyegerakan pembinaan baru untuk kemudahan pejalan kaki dan pengguna motosikal.
"Berikutan insiden yang berlaku ini, JAKOA akan menyegerakan pembinaan baru untuk kemudahan pejalan kaki dan pengguna motosikal.
"JAKOA sentiasa komited untuk mencari penyelesaian terbaik dan memastikan kesejahteraan serta kebajikan masyarakat Orang Asli terus terpelihara," katanya.
Terdahulu media melaporkan, hampir 400 penduduk dari tiga kampung di Pos Balar, dekat sini terputus hubungan apabila jambatan gantung besi Sungai Balar yang menghubungkan kampung itu terputus akibat banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang berkata tiga kampung terbabit adalah Kampung Barung, Kampung Ipes dan Kampung Tidag.
ALOR SETAR – Kira-kira 65,000 akaun pengguna di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu mengalami gangguan bekalan air susulan kebakaran pada sistem elektrikal pam air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Pinang, hari ini.
Menurut Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn. Bhd., operasi di LRA tersebut terpaksa dihentikan akibat kejadian litar pintas dan kerosakan pada sistem dalaman elektrikal pam tersebut.
“Berlaku gangguan bekalan air di beberapa kawasan disebabkan henti tugas operasi LRA Bukit Pinang fasa satu, dua dan tiga berikutan litar pintas dan kerosakan pada sistem dalaman elektrik pam air mentah.
“Gangguan bekalan air itu bermula kira-kira pukul 4.30 petang tadi hingga kerja-kerja pembaikan dan agihan semula bekalan air selesai. Dianggarkan sebanyak 65,000 akaun pengguna terjejas,” katanya.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Pegawai Bomba Tinggi II Bakar Saad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.11 petang dan tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.
“Setibanya di lokasi didapati berlaku kebakaran pada distribution box (DB) dengan bekalan elektrik telah diputuskan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya. – KOSMO! ONLINE
UiTM Machang tempatkan mahasiswa terjejas tanah runtuh Taman Desa Mas di kolej kediaman
- Admin UKK
- Berita
KOTA BHARU: Lebih 50 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang yang terjejas akibat tanah runtuh di kawasan kediaman mereka di Taman Desa Mas, November lalu, akan ditempatkan di kolej kediaman kampus semester depan.
Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Dr Mohd Afandi Mat Rani berkata langkah itu bagi memastikan keselamatan pelajar terlibat kerana kawasan tersebut masih berbahaya dan pihaknya sedang menunggu tindakan kerajaan negeri.
"Kawasan berkenaan belum dibersihkan sepenuhnya. Jadi kita tidak galakkan pelajar menyewa di lokasi itu malah semua penuntut terbabit akan ditempatkan di kolej kediaman memandangkan pada semester depan, hanya 500 pelajar bagi pengambilan baharu selain kita mempunyai kapasiti mencukupi bagi tujuan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Mahabbah Kasih Ramadan UiTM Cawangan Kelantan bersama Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS) dan Rumah Kelantan Tiang 12 di sini, semalam.
Terdahulu, Tengku Puan Temenggong Kelantan Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berkenan menyempurnakan majlis berkenaan.
Mohd Afandi berkata isu berkenaan juga akan dibincangkan dengan pihak berkuasa tempatan dalam satu pertemuan minggu hadapan khususnya berhubung kerja-kerja penyelengaraan sisa tanah.
Dalam pada itu, beliau berkata program berkenaan bertujuan untuk berkongsi rezeki dengan golongan asnaf dan anak yatim yang menerima sumbangan wang dan barangan keperluan asas.
– BERNAMA
400 penduduk 3 kampung putus hubungan
- Admin UKK
- Berita
Hampir 400 penduduk dari tiga kampung di Pos Balar kini terputus hubungan apabila jambatan gantung besi Sungai Balar yang menghubungkan kampung itu terputus akibat banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang berkata, tiga kampung yang terbabit adalah Kampung Barung, Kampung Ipes dan Kampung Tidag.
Katanya, akibat jambatan terputus penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan terbabit tidak dapat menghantar anak mereka ke sekolah pagi semalam.
“Menurut apa yang diceritakan penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Balar, air mula melimpahi jambatan ini kira-kira jam 2 pagi dan pagi ini (semalam) kami lihat jambatan sudah runtuh.
“Jambatan terbabit terputus kerana paras air yang yang tinggi dan deras susulan hujan yang berterusan sejak petang semalam dan sehingga kini cuaca di kawasan pedalaman masih lagi hujan.
“Hampir 400 penduduk yang tinggal di kawasan tiga kampung itu kini terputus hubungan dan tidak dapat menghantar anak mereka ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Balar,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Hanan berkata kejadian banjir yang berlaku itu lebih buruk daripada tahun 2014 dan penduduk kini dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya air semakin naik.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, pihaknya sudah menerima aduan berkaitan kejadian terbabit daripada penduduk kampung.
Katanya, pihaknya akan membuat siasatan tentang kerosakan yang berlaku sebelum memohon peruntukan untuk membina baharu.
Sebanyak 24 sekolah di daerah Beaufort dan Membakut terjejas akibat banjir dan dijangka tidak dapat beroperasi pada sesi persekolahan hari ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin, berkata jumlah itu dilaporkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beaufort sehingga kelmarin.
Katanya, sekolah yang tidak dapat beroperasi akibat banjir diberi kebenaran untuk menggantikan hari yang tertinggal pada Sabtu selepas situasi banjir pulih.
“Jika ada sekolah yang masih dilanda banjir atau laluan ke sekolah dinaiki air, maka sekolah disarankan supaya mengadakan kelas pada Sabtu mengikut jumlah hari sekolah ditutup akibat banjir.
“Ini bagi memastikan jumlah hari persekolahan memenuhi 190 hari seperti ditetapkan dalam Akta Pendidikan,” katanya, di sini.
Bagi daerah Beaufort, sekolah yang terjejas akibat banjir ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Mempagar, SK Lago, SK Bangkalalak, SK Klias Baru, SK Lupak, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) ST John, SMK ST Paul, SK Suasa, SK Pintas, SK Batu 60, SK Bukau dan SK Garama.
Turut terjejas banjir ialah SK Biah Batu 65, SJKC Kung Ming, SK Lingkungan, SK Kebulu, SK Ladang Lumadan dan SJKC Lian Hwa.
Sementara itu, di Membakut sekolah yang terjejas banjir ialah SK Pekan Membakut, SK Kampung Brunei, SK Bambangan, SK ST Patrick, SK Sinoko dan SK Bandau.
Banjir besar melanda keduadua daerah itu sejak semalam berikutan hujan lebat berterusan di kawasan pedalaman Sabah dengan lebih 1,400 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), sehingga pagi semalam.