PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Selangor punyai simpanan air untuk tempoh sembilan bulan

Selangor punyai simpanan air untuk tempoh sembilan bulan

Shah Alam: Selangor mempunyai simpanan bekalan air yang dapat menampung keperluan penduduk untuk tempoh kira-kira sembilan bulan, bagi menghadapi fenomena El Nino yang sedang melanda negara.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim, berkata empangan di negeri itu mempunyai simpanan air untuk keperluan pengguna selama enam bulan, manakala kolam air takungan untuk tempoh tiga bulan.

“Kita kini dalam proses untuk memastikan semua bekalan itu bersambung bagi membolehkan kita dapat menggunakan air tersebut apabila diperlukan,” katanya ketika lawatan kerja ke tapak projek pemuliharaan Sungai Klang, di sini semalam.

Beliau berkata, usaha kerajaan Selangor berkenaan sejajar dengan kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) yang menjangka kemarau akan melanda negara pada 2026.

“Kita merancang dan buat persiapan, kemarau terakhir melanda negara adalah pada 2014 dan kitaran fenomena itu akan berulang dan kita perlu melakukan persiapan dan berharap ia tidak teruk,” katanya.

Mengenai lawatan beliau hari ini, Izham berkata, projek terbabit merangkumi kerja pendalaman dan pelebaran 56 kilometer Sungai Klang serta pengukuhan tanah tebing dan pembinaan permatang yang dijangka siap pada 2028 melibatkan kos RM700 juta.

Timbunan sampah-sarap Katanya, usaha itu berdepan cabaran ekoran timbunan sampah-sarap dan mendapan yang terkumpul di dasar sungai sedalam dua hingga tiga meter, berbanding empat meter ketinggian sungai yang menyukarkan operasi pendalaman dan pelebaran sungai.

“Barang buangan besar seperti tayar dan perabot serta plastik menjejaskan keadaan teknikal jentera pengorek dan menyebabkan gangguan terhadap operasi harian,” katanya.

Izham berkata, projek terbabit menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti Sungai Klang sebanyak 40 peratus apabila siap sepenuhnya. BERNAMA

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung
Pengunjung

Search