Mangsa banjir Sabah, Pahang meningkat
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Pahang merekodkan peningkatan manakala Johor mencatatkan penurunan menjadikan jumlah terkini keseluruhan mangsa seramai 663 orang setakat 6 pagi semalam berbanding 692 orang malam kelmarin.
Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah itu meliputi 224 orang daripada 68 keluarga yang berlindung di empat PPS di Sabah, 175 orang daripada 58 keluarga di empat PPS di Pahang dan 264 orang daripada 64 keluarga di tujuh PPS di Johor.
Di Sabah, seramai 75 mangsa berlindung di tiga PPS di Beluran manakala 149 mangsa berlindung di sebuah PPS di Sandakan.
Di Pahang, 40 mangsa ditempatkan di dua PPS di Pekan manakala seramai 135 mangsa ditempatkan di dua PPS di Rompin.
Di Johor, seramai 124 mangsa berlindung di dua PPS di Kota Tinggi, 63 mangsa di dua PPS di Segamat, 23 mangsa di sebuah PPS di Batu Pahat, 38 mangsa di sebuah PPS di Kluang manakala 16 mangsa di sebuah PPS di Mersing.