PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir masuk hari ketujuh, 'air termenung' mula cetus bau busuk

Banjir masuk hari ketujuh, 'air termenung' mula cetus bau busuk

KUALA SELANGOR: Penduduk Kampung Bukit Hijau bingung memikirkan keadaan banjir yang sudah masuk hari ketujuh di daerah ini, terutama dengan situasi 'air termenung' yang dihadapi.

Penduduk yang hanya mahu dikenali Noraini, 52, berkata keadaan itu dikesan ketika dia pulang untuk memberi makan kucing peliharaannya sebelum menyedari keadaan rumah berbau masam, busuk serta dipenuhi lumpur dan sampah-sarap.

Paling membimbangkan, katanya 'air termenung' yang hanya surut sedikit demi sedikit dan mungkin naik semula jika hujan lebat.

"Keadaan ini menyukarkan kami sekeluarga untuk bersihkan rumah. Setiap kali banjir, kami terpaksa menanggung kerugian apabila sebahagian besar kelengkapan rumah dan harta benda rosak.

"Saya masih teringat banjir sebelum ini apabila hampir dua minggu kami habiskan masa untuk bersihkan kediaman," katanya ketika ditemui, hari ini.

Penduduk Kampung Bukit Kuching Tengah, Rohana Ismail, 58, pula bersyukur banjir tahun ini hanya menjejaskan bilik airnya dan bukan keseluruhan rumah.

Dia mendakwa parit di sekitar kampung tidak diselenggara dengan baik sehingga penduduk terpaksa berdepan masalah sama.

"Sebelum itu, kami bawa masalah ini kepada pihak berwajib untuk tindakan segera. Tetapi apabila banjir melanda, barulah parit yang sebu itu dibersihkan.

"Jika ia selalu diselenggara, mungkin mangsa banjir tahun ini tidak seramai ini," katanya.

Peniaga kedai runcit yang hanya mahu dikenali Rahayu, 40, memaklumkan berkali-kali melihat paras air di parit berhadapan kedainya sejak banjir yang melanda minggu lalu.

"Setiap kali hujan, air dalam parit akan penuh dan tidak boleh mengalir ke mana-mana disebabkan keadaannya yang sudah tersumbat.

"Kami menggesa penyelesaian jangka masa panjang daripada pihak berkuasa kerana tak sanggup menanggung derita ini," katanya.

Tinjauan di beberapa lokasi terjejas termasuk Jalan Parit Mahang mendapati paras air belum surut, dengan air di laluan terbabit dianggarkan sedalam 0.5 meter dan hanya kenderaan berat sahaja boleh melaluinya.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga jam 5 petang ini, Selangor mencatatkan jumlah mangsa seramai 1,160 mangsa membabitkan 321 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search