BANJIR: 1,509 mangsa berlindung di 13 PPS di Selangor, Perak dan Sarawak
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Seramai 1,509 mangsa banjir daripada 417 keluarga di tiga negeri masih ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4.30 petang, hari ini.
Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga negeri yang terjejas adalah Selangor, Perak dan Sarawak.
Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 1,168 mangsa daripada 323 keluarga yang berlindung di sembilan PPS membabitkan tiga daerah iaitu Kuala Selangor, Gombak dan Shah Alam.
Di Kuala Selangor, tujuh PPS dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Maharaja Lela yang menempatkan 309 mangsa daripada 107 keluarga; Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (283 mangsa, 85 keluarga); SK Parit Mahang (253 mangsa, 62 keluarga); KAFA Integrasi Hidayah, Bukit Cherakah (89 mangsa, 25 keluarga); Sekolah Agama Batu 8 Ijok (71 mangsa, 20 keluarga); Dewan Komuniti Penyayang Tanjung Siam (50 mangsa, 15 keluarga) dan SK Jaya Setia (12 mangsa, empat keluarga).
Dua lagi PPS di Selangor ialah Balai Raya Kampung Kenanga di daerah Gombak yang menempatkan 20 mangsa daripada lima keluarga, manakala Dewan Bunga Matahari, Seksyen U5, Shah Alam sudah dikosongkan selepas tiada lagi mangsa banjir ditempatkan.
Sementara di Perak, 306 mangsa daripada 88 keluarga ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak.
Ia membabitkan Dewan Rumah Rehat MPTI Bandar Baru dengan 274 mangsa daripada 80 keluarga dan Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap yang menempatkan 32 mangsa daripada lapan keluarga.
Di Sarawak pula, 35 mangsa daripada enam keluarga masih berlindung di dua PPS membabitkan dua daerah.
Sebanyak 28 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di Dewan Datuk Dr Haji Hazland Kampung Tabuan Hilir, Kuching, manakala tujuh mangsa daripada satu keluarga berada di Kampung Sukan Petronas, Miri.
