PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Sarawak rancang bangunkan modul pendidikan alam sekitar

Sarawak rancang bangunkan modul pendidikan alam sekitar

KUCHING, 28 Okt: Sarawak merancang membangunkan modul pendidikan alam sekitar untuk sekolah dan komuniti bagi meningkatkan pengetahuan serta menggalakkan penglibatan generasi muda dalam usaha pemeliharaan alam sekitar.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, idea dan pengalaman yang dikongsi sepanjang Environmental Education Conference 2026 (EEC 2026) akan membantu membentuk modul berkenaan.

“Pengalaman dan idea yang dikongsi dalam persidangan ini akan membantu membentuk modul pendidikan alam sekitar untuk sekolah dan komuniti.

“Dengan mengambil kira pengalaman antarabangsa serta pengetahuan tempatan, modul ini perlu menghubungkan pembelajaran dengan kehidupan seharian dan membantu golongan muda membangunkan pengetahuan, kemahiran serta keyakinan untuk menjaga alam sekitar,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan EEC 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembangunan modul itu memerlukan kerjasama rapat antara Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), institusi akademik, kementerian dan agensi berkaitan serta rakan komuniti.

“Guru dan pendidik komuniti juga perlu dilibatkan bagi memastikan kandungan serta aktiviti yang disediakan relevan, praktikal dan mudah digunakan.

“Modul itu juga perlu disesuaikan dengan keperluan setempat supaya dapat dimanfaatkan oleh sekolah dan komuniti di seluruh Sarawak, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman yang mempunyai kekangan dari segi kemudahan, capaian internet serta sumber pembelajaran,” katanya.

Menurut beliau, pembelajaran berasaskan pengalaman penting untuk membantu pelajar memahami isu alam sekitar melalui situasi yang dekat dengan kehidupan mereka.

“Antara pendekatan yang boleh digunakan termasuk meneroka sungai berhampiran, memerhatikan pengurusan sisa di sekolah serta memahami penggunaan air dan tenaga dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa pengetahuan masyarakat peribumi dan komuniti tempatan boleh memperkayakan pembelajaran dengan menghubungkan pendidikan alam sekitar kepada amalan serta sumber kehidupan setempat.

Dalam pada itu, hasil resolusi EEC 2026 perlu diterjemahkan kepada tindakan melalui kerjasama berterusan antara sekolah, agensi kerajaan, institusi pengajian, pertubuhan bukan kerajaan, industri dan komuniti.

Usaha memperkukuh pendidikan alam sekitar itu juga selari dengan aspirasi pembangunan Sarawak, termasuk Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Sarawak Sustainability Blueprint 2030 dan Dasar Alam Sekitar Sarawak.

EEC 2026 berlangsung selama dua hari menghimpunkan pendidik, penyelidik serta pengamal alam sekitar bagi berkongsi pengalaman dan membincangkan pendekatan untuk memperkukuh pendidikan alam sekitar. -TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search