PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

RTB Stampin bernilai RM87 juta manfaat 9,000 penduduk

RTB Stampin bernilai RM87 juta manfaat 9,000 penduduk

KUCHING, 22 Okt: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa Satu di Skim Penempatan Semula Stampin bernilai RM87,956,231.16 dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 isi rumah melibatkan kira-kira 9,000 penduduk.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, projek itu melibatkan penaiktarafan sistem perparitan dan pelaksanaan langkah tebatan banjir bagi mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan penempatan yang telah wujud lebih 50 tahun.

Menurut beliau, projek yang bermula pada 14 September lalu itu dijangka mengambil masa kira-kira 30 bulan untuk disiapkan berikutan keperluan melaksanakan kerja pembinaan di kawasan perumahan sedia ada yang mempunyai pelbagai kemudahan utiliti.

“Jika projek dilaksanakan di kawasan baharu yang belum mempunyai rumah, kerja-kerja boleh disiapkan dengan lebih cepat. Namun, di kawasan sedia ada, kita perlu mengambil kira kemudahan utiliti dan memastikan kerja pembinaan tidak menyebabkan terlalu banyak kesulitan kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada pelancaran projek RTB berkenaan di Jalan Stampin Baru di sini, hari ini.

Dr Sim menjelaskan, pelaksanaan projek itu akan dimulakan dengan penaiktarafan longkang utama sebelum disambungkan kepada sistem perparitan di lorong-lorong kecil bagi memastikan aliran air lebih lancar.

Katanya, pembinaan longkang di lorong-lorong kecil sahaja tidak mencukupi untuk mengatasi masalah banjir sekiranya sistem perparitan utama tidak mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menyalurkan air keluar dari kawasan berkenaan.

“Perkara paling penting ialah memastikan laluan air dapat dibuka dan mempunyai kapasiti yang mencukupi supaya risiko banjir kilat dapat dikurangkan,” katanya.

Tambah beliau, kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di kawasan perumahan yang tidak termasuk dalam skop Fasa Satu akan dilaksanakan menerusi Fasa Dua.

Beliau berkata, pelaksanaan secara berperingkat itu penting memandangkan kawasan berkenaan telah lama didiami penduduk dan memerlukan perancangan teliti bagi memastikan sistem saliran dapat berfungsi dengan berkesan.

Katanya, pembangunan infrastruktur di kawasan itu akan diteruskan bagi memenuhi keperluan penduduk, termasuk penambahbaikan akses jalan raya dan kemudahan lain. – TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search