Simulasi komputer kenal pasti kawasan berisiko banjir
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 22 Okt: Perancangan tebatan banjir perlu mengambil kira perubahan iklim, corak hujan ekstrem dan keupayaan sistem saliran bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan pembangunan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, data hujan perlu disokong dengan simulasi komputer bagi menganggarkan jumlah air yang berpotensi memasuki sesuatu kawasan serta mengenal pasti lokasi berisiko banjir.
“Perubahan iklim menjadikan perancangan berasaskan rekod hujan terdahulu sahaja semakin mencabar kerana keadaan cuaca kini berbeza berbanding tempoh 100 tahun lalu.
“Sebab itulah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selalu menekankan bahawa kita perlu menggunakan simulasi. Berdasarkan data hujan bagi tempoh 100 tahun, kita boleh menganggarkan jumlah air yang akan memasuki sesuatu kawasan dan mengenal pasti kawasan yang berisiko banjir melalui simulasi komputer,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada pelancaran projek RTB berkenaan di Jalan Stampin Baru, Kuching, hari ini.
Dr Sim berkata, antara langkah penting dalam pengurusan banjir ialah menyediakan ruang untuk menampung air hujan, termasuk melalui pembinaan kolam takungan (detention pond) sebelum air dilepaskan ke sistem perparitan.
Menurut beliau, sistem perparitan yang dinaik taraf perlu disokong pengurusan aliran air yang berkesan, terutama ketika paras air sungai meningkat sehingga menghalang aliran air dari kawasan perumahan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pembangunan kawasan Stampin turut merangkumi perancangan jalan lingkaran, akses jalan raya baharu serta potensi penggunaan tanah negeri bagi pembangunan perumahan mampu milik.
Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, turut membangkitkan keperluan perumahan dan penaiktarafan sistem perparitan di kawasan berkenaan.
Selain itu, Dr Sim memaklumkan bahawa tapak baharu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hua No. 4 dirancang di kawasan lebih luas dan lebih dekat dengan penempatan penduduk.
Jelas beliau, Premier Sarawak telah menyediakan peruntukan pampasan bagi tujuan berkenaan, manakala tapak yang dicadangkan itu dijangka menjadi lokasi baharu sekolah berkenaan dalam beberapa tahun akan datang. – TVS
