Projek tebatan banjir Sungai Maong Kiri bernilai RM100.2 juta kurangkan risiko banjir
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 22 Okt: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Maong Kiri bernilai RM100.2 juta merangkumi penambahbaikan sistem saliran, pelebaran dan pendalaman sungai serta pembinaan kolam takungan bagi mengurangkan risiko banjir di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pelbagai intervensi dirancang di sepanjang jajaran sungai membabitkan kawasan lapangan terbang, Jalan Hui Sing, Timberland, Podium hingga Stapok.
“Projek ini sangat penting kerana ia melibatkan beberapa kilometer sungai. Bagaimanapun, intervensi dilaksanakan di kawasan tertentu dan bukan di sepanjang keseluruhan sungai kerana ia memerlukan peruntukan yang besar.
“Kita melaksanakan intervensi bagi memastikan masalah di kawasan setempat dapat ditangani terlebih dahulu,” katanya ditemui selepas menyempurnakan Majlis Prapelancaran Projek RTB Sungai Maong Kiri di Taman Timberland, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pembinaan kolam takungan penting bagi menampung lebihan air ketika hujan lebat, terutama apabila paras sungai meningkat sehingga menghalang aliran air dari saliran sekitarnya.
“Ketika hujan lebat, air tidak dapat mengalir masuk ke sungai apabila parasnya sudah tinggi. Justeru, kolam takungan itu akan menampung air buat sementara waktu.
“Kolam itu dikenali sebagai kolam takungan kering kerana kebanyakan masa ia berada dalam keadaan kering dan hanya menampung lebihan air,” katanya.
Dr Sim berkata, kawasan kolam takungan itu juga berpotensi dimanfaatkan oleh komuniti setempat sebagai ruang rekreasi ketika tidak digunakan untuk menampung lebihan air, tertakluk kepada kesesuaian kemudahan yang disediakan.
Beliau berkata, projek itu dijangka mengambil masa 30 bulan untuk disiapkan berikutan kewujudan pelbagai utiliti bawah tanah, termasuk kabel dan paip air, yang memerlukan perancangan teliti sepanjang tempoh pembinaan.
Projek yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak itu bernilai RM100,215,312.30 dan dijadualkan bermula pada 15 September 2026 serta siap pada 14 Mac 2029.
Skop kerja merangkumi penambahbaikan 11 saliran sepanjang kira-kira 3,090 meter, perlindungan tebing sungai sepanjang 86 meter, pembinaan kolam takungan serta perobohan lima jambatan yang tidak lagi digunakan dan menghalang aliran sungai.
