Diplomasi Sains, Dana Jerebu Mampan tangani jerebu ASEAN
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan bagi memperkukuh pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) dalam usaha mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu jerebu merentas sempadan.
Pendekatan Diplomasi Sains itu antara lain membolehkan negara ASEAN menggunakan data, penyelidikan dan kepakaran saintifik secara bersama bagi merangka tindakan lebih berkesan menangani jerebu rentas sempadan, manakala Dana Jerebu Mampan itu pula merujuk kepada usaha menyediakan sumber pembiayaan berterusan bagi pemantauan, pencegahan kebakaran, penyelidikan dan tindakan menangani jerebu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata cadangan itu dikemukakan pada Mesyuarat ke-27 Kumpulan Kerja Teknikal (TWG Ke-27) dan Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Serantau (MSC) di Bali, Indonesia, baru-baru ini.
Beliau berkata, mesyuarat itu bersetuju supaya Sekretariat ASEAN meneroka dan menilai kebolehlaksanaan Diplomasi Sains serta peluasan sumbangan dan penggunaan Dana Jerebu ASEAN dalam kerangka AATHP.
"Pendekatan ini diharap dapat memperkukuh kerjasama serantau, menyokong dasar dan pembuatan keputusan yang berasaskan sains serta bukti.
"Penyelesaian jangka panjang bagi isu ini memerlukan kerjasama dan komitmen negara anggota, selaras AATHP ditandatangani sejak 24 tahun lalu," katanya.
Arthur berkata, pendekatan pelaksanaan AATHP bukan berbentuk hukuman, tetapi berteraskan semangat kerjasama ASEAN dengan mengambil kira prinsip saling menghormati, kedaulatan negara dan pembuatan keputusan secara konsensus.
"Oleh itu, setiap negara anggota perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh komitmen khasnya bagi mencegah dan mengawal kebakaran serta pencemaran jerebu di negara masing-masing supaya tidak menjejaskan negara anggota yang lain," katanya.
ACC THPC akan ditubuh
Arthur berkata, Malaysia akan mengemukakan pendirian lebih signifikan berhubung isu jerebu merentas sempadan pada Mesyuarat Jawatankuasa (COM) dan Persidangan Negara-Negara Pihak (COP) kepada Perjanjian ASEAN mengenai AATHP di Vietnam pada November ini.
"Mesyuarat ini diadakan setiap tahun yang dihadiri Menteri Alam Sekitar dan pegawai kanan daripada 11 negara anggota ASEAN bagi membincangkan situasi jerebu merentas sempadan serta langkah pencegahan," katanya.
Sementara itu, Arthur berkata, Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC) akan ditubuhkan bagi membantu kerjasama dan koordinasi antara negara ASEAN dalam mengurus impak kebakaran tanah gambut serta hutan yang menyebabkan pencemaran jerebu.
Beliau berkata, perkara itu termaktub mengikut Artikel 5 Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).
Katanya, semua 11 negara anggota ASEAN bersetuju ASEAN perlu memiliki satu pusat koordinasi serantau bagi menyelaras jerebu rentas sempadan.
"Indonesia sebagai tuan rumah sedang membuat persiapan ke arah pengoperasian ACC THPC," katanya.
"Ia membabitkan penyediaan Perjanjian Negara Tuan Rumah (HCA), prosedur operasi standard (SOP), mekanisme pelantikan pengarah eksekutif dan ketua bahagian, peraturan serta tatacara dan pelan perniagaan serta program kerja," katanya.
Arthur berkata, Indonesia sudah mengemukakan cadangan untuk menerajui kepimpinan awal ACC THPC bagi memastikan proses penubuhan pusat ini berjalan lancar, termasuk melalui pelantikan seorang rakyat Indonesia sebagai Pengarah Eksekutif pertama ACC THPC.
"Cadangan ini mengambil kira peranan Indonesia sebagai negara tuan rumah dan pengalaman Indonesia dalam pengurusan pencemaran jerebu dan kebakaran hutan serta tanah gambut.
"Pengoperasian ACC THPC ini nanti akan memastikan pelaksanaan penuh AATHP, selain memudahkan koordinasi berkaitan kejadian jerebu merentas sempadan," katanya.
