PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Sedih asyik sedut ‘asap putih’ rentas sempadan

Sedih asyik sedut ‘asap putih’ rentas sempadan

Setiap kali musim angin Monsun Barat Daya bertiup, ruang udara Malaysia akan kembali diselubungi jerebu tebal yang menyesakkan dada.

Isu ini bukan lagi fenomena alam yang luar biasa, melainkan satu ‘tragedi bermusim’ yang telah berlarutan sejak puluhan tahun.

Akibatnya, langit di beberapa bandar utama di negara ini termasuk di Lembah Klang menjadi kelam. Pemandangan ikonik Menara Berkembar Petronas (KLCC), Menara TRX dan Merdeka 118 yang sebelumnya boleh dilihat jelas dari kejauhan, kini bagaikan lenyap ditelan ‘asap putih’.

Isu jerebu rentas sempadan akibat pembakaran hutan di Indonesia kini bukan lagi satu kejutan cuaca, sebaliknya menjadi satu masalah kronik yang menghantui negara sejak puluhan tahun.

Sungguh aneh, masalah asap daripada pembakaran hutan di Indonesia terus melintasi sempadan dan menjejaskan kualiti hidup jutaan rakyat Malaysia bagaikan tidak ada titik noktah.

Mengapa ia harus berterusan berlaku? Apakah kita mahu menunggu ada ribuan rakyat yang terkorban baru masalah ini dapat dihentikan?

Kegagalan menangani isu ini secara berkesan mencerminkan kelemahan ketara dalam diplomasi alam sekitar di rantau Asia Tenggara.

Walaupun Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan telah ditandatangani sejak tahun 2002, namun realitinya kini sudah di tahun 2026, isu jerebu putih terus menghantui warga Malaysia.

Dari sudut ekonomi, banyak kerugian dialami negara. Sektor pelancongan, penerbangan dan banyak lagi telah terkesan. Produktiviti pekerja turut terjejas kerana sering tidak sihat.

Kerajaan pula terpaksa menanggung kos rawatan perubatan yang melonjak tinggi di hospital-hospital awam akibat gelombang penyakit respiratori yang menyerang mendadak.

Malah, ada rakyat yang terpaksa berbelanja lebih untuk membeli penapis udara semata-mata mahu menghirup ‘oksigen’ yang bebas daripada asap putih.

Semua ini berlaku kerana hak untuk menghirup udara bersih yang menjadi keperluan asas kehidupan, telah dirampas oleh pihak-pihak yang tamak dan rakus mengaut keuntungan dengan mengambil jalan mudah – ‘bakar hutan’.

Kalau dihitung-hitung rasanya negara dah mengalami kerugian mencecah bilion ringgit setiap tahun angkara jerebu rentas sempadan ini.

Rasanya sudah sampai masa untuk Malaysia dan Indonesia duduk serta benar-benar mengambil serius untuk menyelesaikan masalah jerebu ini.

Kita tahu di pihak Malaysia memang bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan isu ini, namun tanpa sokongan daripada negara jiran, ia sukar untuk dilaksanakan.

Mungkin satu tribunal jerebu serantau boleh ditubuhkan bagi peringkat ASEAN yang mampu untuk bertindak dan menyaman mana-mana syarikat yang didapati sengaja mencetuskan titik panas di ladang-ladang mereka.

Selagi tiada tindakan perundangan yang benar-benar agresif terhadap syarikat-syarikat yang mencetuskan titik panas ini, selagi itulah udara bersih di Malaysia terus dinodai ‘asap putih’ beracun rentas sempadan ini.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search