19 kawasan termasuk Nilai dan Seremban catat IPU tidak sihat
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Sebanyak 19 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, setakat jam 8.00 pagi, hari ini.
Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), tiga daripadanya membabitkan kawasan di Sarawak dengan bacaan tertinggi, 168, direkodkan di Serian, diikuti Samarahan (167) dan Kuching (108).
Beberapa negeri turut merekodkan pertambahan IPU tidak sihat, antaranya Negeri Sembilan dengan kawasan paling teruk terjejas, Nilai yang merekodkan bacaan 162 dan Seremban (159).
Di kawasan Lembah Klang, beberapa lokasi turut merekodkan bacaan IPU tinggi, antaranya di Selangor membabitkan Johan Setia dengan bacaan 160, Shah Alam (159), Klang (152), Banting (150) dan Petaling Jaya (122).
Satu-satunya kawasan di Kuala Lumpur yang merekodkan IPU tidak sihat adalah Batu Muda dengan bacaan 152, sementara Putrajaya (160).
Di selatan, Johor turut terjejas di dua kawasan iaitu Tangkak yang merekodkan IPU l, 153 dan Segamat (103), manakala Melaka membabitkan Bukit Rambai (151) dan Alor Gajah (144).
Di Perak, hanya kawasan Taiping yang merekodkan IPU tidak sihat iaitu pada bacaan 116.
Sementara itu, data dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar itu turut menunjukkan hanya dua kawasan berada dalamIPU tahap baik iaitu Kangar, Perlis dan Langkawi, Kedah, manakala 47 kawasan lagi mencatatkan bacaan IPU tahap sederhana di seluruh negara.
Ia meliputi beberapa kawasan di beberapa negeri termasuk diKedah,Pulau Pinang, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), manakala IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai kualiti udara semasa menerusi saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar melalui pautan eqms.doe.gov.my atau MyJAS EQMS di Google Play dan App Store.
