PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Bantuan mangsa ribut di Sibu Jaya diselaras ikut penilaian kerosakan

Bantuan mangsa ribut di Sibu Jaya diselaras ikut penilaian kerosakan

SIBU, 19 Julai: Bantuan kepada mangsa ribut di Sibujaya akan diselaraskan selepas penilaian menyeluruh terhadap rumah dan bangunan terjejas selesai dilaksanakan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pegawai berkaitan diarahkan turun padang untuk memeriksa semua rumah yang terjejas di kawasan Sibu Jaya bagi mengenal pasti tahap kerosakan serta bentuk bantuan yang perlu disalurkan.

Menurutnya, jumlah sebenar rumah terjejas masih belum dapat dipastikan kerana terdapat kemungkinan sebahagian pemilik rumah belum menyedari kerosakan terutama pada bahagian bumbung yang hanya akan dikesan apabila hujan.

“Saya sudah arahkan pegawai turun padang untuk memeriksa semua kawasan di Sibu Jaya. Mungkin ada rumah yang bumbungnya tercabut sedikit tetapi pemilik belum sedar. Bila hujan nanti baru mereka tahu.

“Sebab itu saya minta Angkatan Pertahanan Awam (APM) buat tinjauan di seluruh Sibu Jaya menggunakan drone supaya saya dapat laporan penuh mengenai keadaan sebenar,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa ribut di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Komuniti Sibujaya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pemaju Bandar Sibu Jaya, AmCorp Properties bagi mendapatkan bantuan membina semula Rumah Asap yang terjejas demi manfaat masyarakat Iban.

“Pihak Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) telah memaklumkan bahawa keperluan sementara untuk Rumah Asap berkenaan akan disediakan menggunakan khemah khas, manakala usaha mendapatkan kerjasama AmCorp akan diteruskan bagi membina semula kemudahan itu,” ujarnya.

Mengulas mengenai Balai Bomba Sibu Jaya yang turut terjejas akibat ribut, Tiong berkata, peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah disalurkan dan kerja menaik taraf dijangka bermula esok.

Ketika ditanya sama ada pemaju akan bertanggungjawab terhadap kerosakan rumah, beliau berkata, perkara itu bergantung kepada rundingan antara pemilik rumah dengan pihak pemaju.

“Itu adalah perkara antara pemilik rumah dan pemaju. Mereka perlu berbincang dan menyelesaikannya bersama,” jelasnya.

Tedahulu, King Sing bersama rombongan turut melawat beberapa buah rumah yang terjejas akibat ribut dan rumah asap Sibu Jaya. -TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search