`Sayu lihat barang hanyut banjir, baru dua minggu lalu tukar dapur' - Peniaga Medan Selera 223
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: "Paras air banjir itu naik hingga paras dagu, sebelum ini hanya setakat paras dada sahaja. Ini sudah kali ketiga banjir besar berlaku di sini (tahun ini), setiap kali itu juga kami bersilih ganti menukar pelbagai peralatan baharu sehingga terpaksa tanggung rugi besar," rintih peniaga Medan Selera 223 di Seksyen 51A, depan sini yang dilanda banjir kilat petang semalam.
Peniaga, Jamaliah Yusoff, 62, berkata hatinya berdebar setiap kali hujan kerana risau apa yang akan berlaku kepada kedai dan barang jualan.
"Setiap kali hujan turun, hati saya pasti berdebar-debar kerana bimbang banjir akan melanda lagi. Semalam memang banjir paling buruk yang melanda sepanjang tahun ini.
"Melihat barang-barang hanyut dan terapung memang menyedihkan kerana tiada apa yang dapat kami lalukan. Dapur gas besar tak boleh pakai langsung. Saya baru beli dalam dua minggu lepas harga mencecah RM1,200," katanya ketika ditemui di medan selera itu, di sini hari ini.
Jamaliah turut meluahkan sebak kerana peniaga di medan itu hanya ingin mencari rezeki untuk menanggung keluarga dan anak, bukannya mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
Beliau turut memaklumkan akibat kejadian banjir sebelum ini peniaga diberikan sewa percuma selama dua bulan bagi meringankan beban.
Katanya, kerugian sebenar yang dialami lebih daripada nilai dua bulan sewa itu kerana banyak peralatan yang rosak seperti peti ais dan dapur gas yang mana harganya mahal.
"Kami dekat sini hanya nak mencari rezeki tetapi tiada apa yang boleh kami lakukan selain rasa sabar dan reda bila melihat barang hanyut. Kejadian seperti ini bukan sekali berlaku di sini, ia sudah berulang. Saya harap akan ada penyelesaian untuk bantu kami mengatasi masalah banjir ini," katanya.
Mengimbau banjir semalam, Jamaliah berkata, kebanyakan peniaga tidak berada di lokasi kejadian kerana ada yang sudah menutup perniagaan dan hanya mengetahui mengenainya menerusi perbualan dalam kumpulan WhatsApp.
Peniaga di Medan Selera 223 di Seksyen 51A, Petaling Jaya, yang dilanda banjir buat kali ketiga tahun ini menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri mengambil tindakan penyelesaian jangka panjang supaya kejadian itu tidak berulang dan merugikan mereka.
Sementara itu, peniaga, Nuraini Zainudin, 59, yang juga balu berkata, beliau berpindah ke Medan Selera 223 pada 2023 selepas diminta pihak tertentu atas tujuan pembinaan kondominium di kawasan berkenaan.
"Dekat sini memang ada longkang besar yang kalau hujan sangat laju air naik, boleh ambil masa lima minit sahaja berlaku banjir.
"Bila berlakunya bencana ini, kami terpaksa tutup kedai dua hingga tiga hari untuk kemas kedai dan menggantikan semula barang yang rosak dan musnah.
"Justeru, saya harap sangat jika PBT (pihak berkuasa tempatan) dan kerajaan negeri cari penyelesaian supaya kami tidak lagi jadi mangsa banjir ini," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, Medan Selera 223 di Seksyen 51A, Petaling Jaya, dekat sini, kembali dilanda banjir kilat selepas hujan lebat petang.
Ia kejadian kali ketiga selepas banjir kilat sebelum ini dilapor melanda medan selera berkenaan pada 20 April dan 6 Mei lalu.
Pada 6 Mei lalu, kira-kira 60 gerai ditenggelami air sedalam 1.2 meter, selain beberapa kenderaan di kawasan parkir turut tenggelam.
