Bomba berjaya kawal api tanah gambut Pengkalan Raja
- Admin UKK
- Berita
PONTIAN: Kebakaran hutan tanah gambut seluas kira-kira lima ekar di Batu 30, Pangkalan Raja di sini berjaya dikawal dalam tempoh kurang dua jam oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, Md. Bakhtiar Chik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada ketua kampung pada pukul 9.10 pagi sebelum tujuh anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian.
“Punca kebakaran dikenal pasti berpunca daripada pembakaran sampah yang tidak terkawal sehingga merebak dan membakar kawasan hutan tanah gambut,” katanya kepada Utusan ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata, terdapat 14 buah rumah yang terletak berhampiran kawasan kebakaran, namun tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengelakkan api daripada merebak ke kawasan penempatan penduduk.
Tambahnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 10.45 pagi, namun kerja-kerja pemadaman masih diteruskan bagi memastikan api benar-benar padam dan tidak berlaku kebakaran berulang.
“Kami akan terus bersiap siaga dan memantau kawasan ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya. – UTUSAN
