PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Pemeliharaan, perlindungan lautan kunci elak krisis iklim

Pemeliharaan, perlindungan lautan kunci elak krisis iklim

Kemerosotan kesihatan lautan memburukkan lagi perubahan iklim, mewujudkan kitaran berbahaya yang memerlukan perhatian dan tindakan segera. 

Sikap semberono manusia dalam penggunaan dan pembuangan plastik selama ini, mengancam dan mengganggu keseimbangan ekosistem marin. Penangkapan ikan berlebihan didorong amalan tidak selamat dan permintaan semakin meningkat untuk makanan laut, mengurangkan populasi ikan serta mengganggu rantai makanan.

Habitat pantai, termasuk hutan bakau dan terumbu karang, mengalami kerosakan merosot seterusnya mengancam kelangsungan hidup lautan kita. Faktor ini digabungkan peningkatan paras laut, suhu dan keasidan akibat perubahan iklim, mendorong lautan kita di bawah ancaman berterusan.

Mutakhir ini, isu perubahan iklim menjadi tumpuan berikutan kekerapan bencana alam terutama, sekali gus mengancam keselamatan manusia terutama kumpulan masyarakat lebih sensitif seperti kanak-kanak.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menganggarkan 530 juta kanak-kanak tinggal di kawasan terdedah kepada banjir, manakala menjelang 2040, 1 daripada 4 kanak-kanak akan menghadapi krisis air melampau.

Kenaikan paras laut boleh menyebabkan pelbagai kesan buruk seperti sumber air tawar tidak boleh diminum dan mengancam negara membangun pulau kecil dan kawasan pesisir pantai yang didiami kebanyakan penduduk, termasuk Malaysia.

Krisis di lautan kita tidak berlaku secara terasing, sebaliknya mempunyai kesan meluas terhadap iklim planet. Lautan memainkan peranan penting sebagai pengawal selia iklim global, menyerap dan mengagihkan semula haba dan karbon dioksida.

Namun, jumlah pelepasan gas rumah hijau dihasilkan manusia melampaui kemampuan lautan menangani masalah berkenaan. Apabila atmosfera kita semakin panas, lautan menyerap haba berlebihan, menyebabkan peningkatan suhu laut dan intensifikasi peristiwa cuaca ekstrem hingga mengganggu ekosistem marin, menyebabkan pelunturan karang, migrasi spesies dan kehilangan biodiversiti.

Di samping itu, apabila karbon dioksida larut dalam air laut, ia menyebabkan pengasidan lautan berbahaya kepada hidupan marin, terutama bagi spesies mempunyai cengkerang atau rangka kalsium karbonat.

Kemerosotan kesihatan lautan memburukkan lagi perubahan iklim, mewujudkan kitaran berbahaya memerlukan perhatian dan tindakan segera. Bagi memerangi perubahan iklim dengan berkesan, kita mesti memberi keutamaan kepada pemeliharaan dan perlindungan lautan, mengiktiraf peranan kritikal mereka dalam mengekalkan iklim stabil untuk planet.

 

Tindakan tangani krisis lautan

Ada beberapa tindakan boleh diambil untuk menangani krisis lautan dan menyumbang usaha menghadapi perubahan iklim, termasuk menyokong sumber makanan laut ditetapkan.

Dengan memilih sumber makanan laut mampan dengan bijak dan mencari label mesra alam seperti pensijilan Marine Stewardship Council (MSC) atau sijil Aquaculture Stewardship Council (ASC), kita boleh menyokong operasi perikanan dan akuakultur mengamalkan amalan penangkapan ikan mampan dan mengekalkan kepelbagaian marin.

Langkah menggalakkan pengeluar dan pembekal makanan mendapatkan sijil ini serta mempromosi supaya pengguna memilih produk mempunyai label mesra alam, boleh memacu perubahan positif dan menyumbang pemulihan ekosistem marin serta kesihatan laut dalam jangka panjang.

Selain itu, pembabitan dalam usaha pembersihan pantai antara cara praktikal melakukan perubahan. Dengan menganjur atau mengambil bahagian, individu boleh menyumbang kepada penyingkiran sisa plastik dan bahan pencemar membahayakan hidupan marin, sekali gus memberi inspirasi kepada orang lain untuk bertindak.

Contohnya, Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa (ICC) di negara ini wajar menjadi teladan. Kempen anjuran Reef Check Malaysia itu, membabitkan lebih 394 kilometer garis pantai di seluruh negara dan ribuan sukarelawan.

Dalam kempen tahun lalu, sejumlah 24,301 kilogram sampah dikumpul, menunjukkan kepentingan inisiatif tempatan dan keperluan mendesak melaksanakan dasar alam sekitar dalam melindungi ekosistem pantai.

Mengamalkan amalan melancong secara bertanggungjawab juga dapat melindungi lautan kita. Malaysia diberkati dengan destinasi pantai menakjubkan yang menarik pelancong dari seluruh dunia.

Sebagai pengembara, kita perlu memilih penginapan mesra alam, terbabit dalam aktiviti menghormati hidupan marin dan habitatnya (seperti snorkeling dengan pengendali bertanggungjawab) serta mengamalkan cara membuang sisa betul untuk mengelakkan pencemaran kawasan pantai.

Begitu juga membabitkan diri dalam pendidikan dan advokasi mengenai lautan, boleh memberikan impak ketara. Oleh itu, kita perlu sentiasa mendapat maklumat isu marin tempatan dan global, sekali gus menggunakan platform media sosial untuk meningkatkan kesedaran dan menyokong perubahan.

Kajian menunjukkan penyelesaian iklim berpusatkan lautan berpotensi menyumbang hingga 21 peratus daripada pengurangan tahunan dalam pelepasan gas rumah hijau yang diperlukan menjelang 2050 untuk mengehadkan peningkatan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius.

Melindungi dan memulihkan ekosistem marin seperti bakau, rumput laut serta terumbu karang boleh meningkatkan kapasiti untuk menyerap karbon dioksida dan mengekalkan kesihatan iklim.

Menyokong sumber tenaga boleh diperbaharui seperti ladang angin luar pesisir dan memanfaatkan kuasa arus serta air laut juga boleh membantu mengurangkan pembebasan gas rumah hijau.

Wajar juga disebut keputusan kerajaan menarik balik larangan eksport tenaga boleh diperbaharui (RE) menandakan satu langkah penting dalam perjalanan negara ke arah masa depan lebih hijau.

Ini sejajar dengan komitmen Malaysia meningkatkan asas ekonomi hijau dan kedudukannya untuk landskap tenaga kerja lebih mewah. Dengan menyasarkan untuk mencapai bekalan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 70 peratus menjelang 2050, Malaysia mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil dan menerima sumber tenaga bersih dan boleh diperbaharui.

Kemampanan lautan dan perlindungan ekosistem marin adalah kunci menangani krisis iklim serta memastikan masa depan mampan. Dalam menghadapi cabaran seperti pencemaran plastik, penangkapan ikan berlebihan, kemusnahan habitat dan perubahan iklim, tindakan segera diperlukan.

Sudah tiba masanya untuk kita menjadi lebih komited, bertindak berani dan mengekalkan hubungan seimbang dengan lautan, untuk masa depan yang lebih baik untuk kita semua. -BERITA HARIAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search