PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kelodak lombong punca pencemaran Sungai Lipis - JAS

Kelodak lombong punca pencemaran Sungai Lipis - JAS

Kuantan: Pencemaran Sungai Lipis di Jambatan Sengkela, Raub yang tular dalam media sosial semalam, disebabkan pelepasan kelodak dari kolam takungan di kawasan operasi perlombongan bijih besi di Hulu Sungai Bekil.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Zakaria Ahmad @ Mohd berkata berdasarkan pemeriksaan di sepanjang Sungai Lipis, hanya air Sungai Bekil yang terletak berdekatan kawasan lombong didapati berwarna keruh.

"Kejadian limpahan kelodakan ke Sungai Bekil ini turut disahkan oleh pengusaha lombong," katanya dalam kenyataan, hari ini. Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga mendapati keadaan sungai telah kembali pulih.

Zakaria berkata pihaknya telah melaksanakan ujian pensampelan di tapak (in situ) di sepanjang Sungai Lipis dan mendapati kadar kekeruhan air sungai ialah 75.48 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU) serta melebihi had 50 NTU bagi kelas II bagi sumber air.

"Bacaan skala pH adalah 7.34 dan oksigen terlarut (DO) sebanyak 7.47 miligram per liter adalah normal bagi kehidupan akuatik," katanya.

Selain itu, beliau berkata hasil siasatan berkenaan akan dimaklumkan kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Pahang untuk tindakan lanjut agensi terbabit.

Berdasarkan rekod, tiada projek perlombongan bijih besi yang diluluskan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) di Daerah Raub.

"Aktiviti perlombongan sedia ada yang diluluskan pajakan melombong sebelum 2015 adalah tidak tertakluk kepada keperluan Laporan EIA di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search