PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Pencemaran air babi beri ancaman terhadap masyarakat Islam

Pencemaran air babi beri ancaman terhadap masyarakat Islam

KALAU dahulu perbincangan mengenai pencemaran banyak tertumpu kepada sungai, kini masyarakat global memperkenalkan perspektif baharu iaitu kesihatan bumi.

Hal ini kerana pencemaran air dan udara  menjadi sangat kritikal sehingga keseluruhan bumi terjejas. Proses perubahan bumi bukan sekadar memudaratkan alam sekitar tetapi juga kehidupan fauna, flora dan manusia. Ia menjejaskan sistem bumi, mengganggu iklim serta meningkatkan intensiti bencana alam.

Di Malaysia, isu pencemaran masih membelenggu, khususnya pencemaran sungai dan air bawah tanah. Secara umumnya, pencemaran air berpunca daripada aktiviti manusia, sama ada kerana kerakusan atau kurangnya ilmu pengetahuan. 

Sistem kitaran air tabii masih kurang difahami dan tidak cukup dipeduli oleh masyarakat, termasuk pembuat dasar. Apabila berlaku pencemaran yang menjejaskan kehidupan atau mengganggu keselesaan harian  seperti bahan toksik, sungai kotor, sumber makanan akuatik berkurangan atau tercemar, serta bau busuk di perkampungan,  barulah masyarakat bersuara dan menuntut kawalan pencemaran disegerakan.

Malangnya, apabila pencemaran berlaku, banyak yang sudah terlambat. Usaha memperbaiki keadaan biasanya memerlukan kos tinggi dan pencemaran kerap berulang. Laporan terkini menunjukkan sekitar 25 peratus sungai di negara ini sudah tercemar, dengan sebahagian daripadanya berada pada tahap kritikal sehingga tidak lagi berfungsi. 

Punca pencemaran termasuk bahan industri, air kumbahan, pertanian, penternakan dan sisa domestik.

Air hujan adalah sumber utama air bersih. Ia turun ke lembangan, contohnya di Lembangan Sungai Klang dan Sungai Langat, kemudian mengalir dari tanah tinggi ke laut melalui sistem sungai dan lapisan tanah atau batuan di bawah permukaan. 

Kita lebih memahami sistem air permukaan kerana dapat melihatnya tetapi kurang menyedari pergerakan air bawah tanah. Sebagai contoh, air Sungai Langat hanya mengambil beberapa hari untuk sampai ke Selat Melaka, manakala air bawah tanah mengambil masa puluhan hingga ratusan tahun untuk sampai ke lautan.

Biasanya, kita menggunakan air permukaan melalui empangan bagi bekalan air bersih. Apabila sungai tercemar, kita terpaksa bergantung kepada air bawah tanah. Persoalannya, apa akan terjadi jika air tanah juga tercemar?

Kebimbangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung penempatan ternakan babi di Kuala Langat yang dirancang dipindahkan ke Bukit Tagar menjelang 2030 wajar diberi perhatian serius, khususnya berkaitan risiko pencemaran air, terutama air bawah tanah. 

Di kawasan dataran rendah, terutamanya di pantai barat Selangor, sebahagian besar sumber air terletak di bawah permukaan tanah. Dahulu, masyarakat bergantung kepada air perigi yang merupakan air bawah tanah.

Air ini terkumpul dalam lapisan tanah, tanah gambut atau batuan, tersimpan lama dan sukar mengalir ke laut. Dalam keadaan sebegini, sebarang pencemaran bukan sahaja sukar dipulihkan, malah berpotensi menjadi bencana alam yang serius dan memudaratkan kehidupan manusia. Oleh itu, kebimbangan baginda harus dilihat sebagai peringatan penting demi menjaga kelestarian sumber air dan kesejahteraan rakyat.

JANGAN ABAI IMPAK ALAM SEKITAR

Dalam konteks pembangunan berkaitan ternakan haiwan berskala besar, impak alam sekitar terhadap rancangan pembangunan sudah mempunyai garis panduan untuk menilai pencemaran air dan tanah, khususnya berkaitan air kumbahan ternakan. 

Bagi ternakan babi, pencemaran bau telah lama dikenali dan menjadi isu besar satu ketika dahulu. Namun, pencemaran kumbahan terhadap air permukaan dan air tanah perlu diteliti secara terperinci berdasarkan pelbagai perspektif, bukan sekadar komponen teknikal. Isu ini perlu dilihat dari aspek sosial, kemasyarakatan, kepercayaan dan amalan berjiran.

Malaysia adalah negara majoriti Islam dan perlembagaan menetapkan Islam sebagai agama rasmi. Islam menjelaskan daging babi adalah haram, sementara masyarakat Melayu menekankan kepentingan menjauhi haiwan ini. 

Walaupun orang Melayu tidak menghalang orang bukan Islam memakan babi, namun mereka tetap tidak dapat menerima jika haiwan ini menjejaskan kehidupan atau persekitaran tempat tinggal.

Oleh itu, kajian impak alam sekitar bagi aktiviti ternakan babi perlu melihat isu secara menyeluruh, terutamanya berkaitan kawasan yang terjejas. 

Pertama, air permukaan dan bawah tanah yang berpotensi tercemar daripada kumbahan ternakan babi tidak boleh menjejaskan kehidupan masyarakat Islam yang tinggal di sekitar atau hiliran sungai kawasan ternakan. Pergerakan air bawah tanah di kawasan dataran rendah perlu dikenalpasti untuk memastikan penduduk Islam tidak terjejas secara jangka panjang.

Kedua, kajian impak perlu meneliti demografi kawasan cadangan projek. Jika majoriti penduduk Islam, tapak tersebut mungkin tidak sesuai. Persepsi keselamatan, penghormatan terhadap kepercayaan dan keharmonian penduduk berbilang agama harus menjadi asas dalam perancangan pembangunan negara.

Air bersih adalah sumber strategik bagi negara dan pada masa akan datang, air bawah tanah bakal menjadi bekalan utama. 

Bagi negara Islam, air bersih bukan sekadar bebas daripada pencemaran bahan kimia dan sisa domestik tetapi juga perlu dijamin bebas daripada pencemaran najis, termasuk bahan haram. 

Seeloknya, Malaysia bebas daripada ternakan haiwan haram untuk tujuan komersial demi memastikan kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.-UTUSAN

 

PROFESOR  Emeritus Datuk Ibrahim Komoo ialah Ketua Kluster Kelestarian dan Kesihatan Bumi, Akademi Profesor Malaysia (APM).

 

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search