1,569 mangsa banjir babit tiga negeri
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Sabah, Sarawak dan Perak masih dilanda banjir membabitkan seramai 1,569 mangsa yang masih ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS).
Kesemua mangsa yang terdiri daripada 621 keluarga itu turut membabitkan 524 kanak-kanak dan 41 bayi.
Berdasarkan maklumat di laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 10 PPS dibuka di Sabah sejak Jumaat lalu iaitu di Beaufort, Tenom dan Kemabong.
Kesemua PPS itu menempatkan 1,328 mangsa daripada 517 keluarga.
Sementara di Sarawak, dua PPS dibuka di Miri yang menempatkan 219 mangsa daripada 100 keluarga, yang terjejas akibat banjir.
Di Perak, keadaan banjir bertambah baik apabila hanya sebuah PPS dibuka iaitu di Kinta yang menjadi lokasi kediaman sementara buat 22 mangsa daripada empat keluarga.- UTUSAN
