Taburan hujan rendah susulan Monsun Barat Daya
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami taburan hujan rendah dengan bilangan hari tanpa hujan lebih banyak susulan musim Monsun Barat Daya (MBD) yang dijangka berakhir pertengahan September depan.
MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, sepanjang Jun ini, kebanyakan kawasan di Semenanjung dijangka menerima hujan sedikit bawah purata antara 50 milimeter (mm) hingga 150mm kecuali Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak, Kelantan dan Terengganu yang dijangka menerima hujan pada paras purata iaitu antara 50mm hingga 300mm.
Menurut jabatan itu, menjelang Julai, sebilangan kawasan di Semenanjung Malaysia dijangkakan menerima hujan pada paras purata antara 100mm hingga 350mm, kecuali di selatan Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang dijangkakan menerima hujan sedikit di bawah purata iaitu antara 50mm hingga 150mm.
"Di Sarawak, Kebanyakan kawasan dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu di antara 100 hingga 250mm kecuali di Miri dan Limbang yang dijangkakan menerima hujan pada paras purata iaitu antara 150mm hingga 300mm. Sabah dan Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100mm hingga 350mm.
"Pada Ogos, kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dijangkakan menerima hujan pada paras purata antara 100mm hingga 400mm kecuali di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 50mm ke 150mm," katanya dalam kenyataannya, hari ini
Agensi itu memaklumkan, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah terutama pada awal pagi. - METRO
