Zaman cuaca ekstrem
- Admin UKK
- Berita
Selepas ribut tropika Senyar melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia baru-baru ini, ramai yang bimbang kemungkinan gelombang kedua atau kejadian banjir berulang melanda negara.
Ancaman cuaca ekstrem ini bukan sahaja dirasai di Malaysia, tetapi turut menjejaskan negara jiran seperti Thailand, Vietnam, Filipina dan Sri Lanka.
Untuk memahami fenomena cuaca ekstrem ini, wartawan AMIR ABD HAMID menemubual PROF EMERITUS DR FREDOLIN TANGANG, pakar klimatologi dan perubahan iklim dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Prof, adakah kejadian banjir di utara Semenanjung Malaysia baru-baru ini berkaitan dengan perubahan iklim atau faktor lain?
Perubahan iklim pastinya satu daripada faktor yang menyumbang. Tetapi dalam masa yang sama pelbagai fenomena cuaca berlaku secara serentak, menjadikan kecelaruan cuaca yang jarang berlaku atau tak pernah berlaku sebelum ini.
Selain angin kencang akibat luruan sejuk dari kawasan bertekanan tinggi Siberia, berlaku fenomena La Nina dan Indian Ocean Dipole yang berfasa negatif yang berfungsi mengangkut kelembapan udara dan juga air bersuhu tinggi ke rantau Asia Tenggara. Selain dari itu suhu permukaan air laut di rantau ini memang tinggi akibat dari pemanasan global dan adalah yang tertinggi berbanding kawasan lain. Semua ini menyumbang kepada episod kecelaruan cuaca yang kita alami di Malaysia dan rantau ini baru-baru ini. Intensiti, luruan dan tempoh dipengaruhi oleh pemanasan global.
Hujan lebat yang berpanjangan pastinya akan menyebabkan banjir dan tanah runtuh. Pastinya pembangunan yang tidak mampan, saliran yang tidak diurus dengan baik dan sebagainya akan memburukkan keadaan. Tetapi dengan curahan hujan yang sangat tinggi, banjir dan tanah runtuh akan terjadi juga dan boleh berlaku pada skala besar seperti yang dilaporkan di Sumatera.
Bagaimana Prof melihat kesan ribut tropika Senyar yang jarang berlaku di Selat Melaka?
Ribut tropika Senyar adalah yang pertama dijana di Selat Melaka. Laluan dan kekuatannya menarik kerana ia bergerak dari Selat Melaka ke timur Aceh sebelum membentuk pusingan U menuju Selangor dan Negeri Sembilan. Walaupun impaknya tidak seteruk ribut di Sumatera atau Filipina, ia mencetus kebimbangan penduduk terutamanya pengalaman lalu Lembah Klang pada 2021.
Taufan di Filipina kuat dan kebiasaannya bergerak ke barat dan ke utara. Ada dua sebab ini berlaku kerana pengaruh angin timuran dan juga taufan memerlukan daya putaran bumi atau daya Coriolis dan daya Coriolis ini meningkat mengikut latitud, ini menerangkan mengapa taufan yang biasanya melanda Filipina laluannya ke barat dan melengkung ke utara.
Tetapi kelakuan ribut tropika ini berbeza sekali. Ini boleh diterangkan dari segi daya putaran yang menjana ribut tropika ini datangnya dari luruan sejuk itu sendiri dan pergerakan ke latitud rendah merentasi Semenanjung Malaysia itu sebahagian dari kesan dari luruan sejuk. Daya Coriolis adalah kecil bagi kawasan berhampiran garis
Apakah pola yang berlaku pada tahun 2025 ini berbeza dengan tahun sebelumnya?
Kita boleh lihat dari segi bilangan taufan yang merentasi Filipina. Tahun 2025 unik kerana bilangan ribut tropika dan taufan jauh melebihi purata tahunan. Filipina dan Vietnam dilanda taufan bertubi-tubi manakala Malaysia mengalami Senyar. Faktor suhu laut tinggi, La Nina aktif, dan Indian Ocean Dipole negatif menjadikan atmosfera tidak stabil, menyumbang kepada kecelaruan cuaca. Fenomena ini mungkin menjadi norma di masa hadapan jika perubahan iklim tidak ditangani.
Dalam konteks keselamatan awam, bagaimana kerajaan Malaysia menanganinya?
Pujian wajar diberikan kepada agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kerana koordinasi pemindahan penduduk berjalan lancar. Walaupun kerugian harta benda berlaku, nyawa berjaya dilindungi. Pengurusan risiko ini perlu dipertingkatkan termasuk projek tambatan banjir dan kawalan pembangunan tidak mampan bagi menghadapi kejadian lebih ekstrem di masa hadapan.
Bolehkah masyarakat biasa memahami dan bersedia menghadapi cuaca ekstrem seperti ini?
Pendidikan awam dan kesedaran terhadap perubahan iklim adalah penting. Rakyat perlu memahami faktor alam dan pembangunan yang yang tidak mapman akan meburukkan keadaan apabila berlaku kecelaruan cuaca seperti ini.
Di ketika kita berdepan dengan cuaca seperti ini, memastikan keselamatan diri dan keluarga adalah sangat penting. Saya yakin sistem di Malaysia bertambah baik terutama dengan proses pemindahan penduduk yang terjejas banjir dilakukan secara teratur. Dalam jangka masa panjang, pihak berkuasa perlu menyegerakan projek-projek tambahan banjir untuk meminimumkan impak kecelaruan cuaca ekstrem seperti ini di masa hadapan. Dengan perubahan iklim dan perubahan iklim semakin meningkat, kecelaruan sebegini akan menjadi semakin kerap.
Apakah pandangan Prof mengenai cuaca ekstrem di rantau Asia Tenggara pada masa depan?
Fenomena banjir, ribut tropika dan taufan kemungkinan akan menjadi lebih kerap dan kuat. Pemanasan global menaikkan suhu laut, mempengaruhi pembentukan taufan, serta mengubah kelakuan luruan sejuk global. Malaysia dan negara jiran perlu menyesuaikan diri, meningkatkan sistem amaran awal, dan memperkuat infrastruktur untuk menghadapi norma baru ini.
