PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Pembangunan baharu perlu sejajar pelaksanaan projek tebatan banjir

Pembangunan baharu perlu sejajar pelaksanaan projek tebatan banjir

KUALA SELANGOR: Kerajaan negeri perlu memastikan perancangan pembangunan di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) menepati piawaian dan kapasiti rancangan tebatan banjir (RTB) yang dibina di kawasan masing-masing.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, cabaran tersebut diteliti pihaknya dalam pelan induk RTB yang turut melibatkan pengurusan air secara holistik dalam usaha mengatasi banjir pada masa depan.

“Ia berdasarkan perbincangan saya dengan dia (Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor)) kerana dalam pelan induk yang sedang dibuat kajian akan siap pertengahan tahun depan termasuk mengkaji keberkesanan projek tebatan banjir sebab kosnya tinggi. Jadi, kita hendak tengok (adakah) ia berkesan nanti.

”Dalam pelan induk itu juga kajian dan cadangannya akan diselaraskan di bawah pelan Malaysia untuk memastikan pembangunan di PBT-PBT akan mengambil kira pengurusan air secara holistik, bukan sahaja banjir,” katanya ketika ditemui pada Program Pembangunan Agropreneur Selangor Bantuan Nelayan, semalam.

Jelasnya, ketika ini RTB se­perti kolam takungan air di Taman Mutiara, Klang yang hampir siap sudah pun menunjukkan kesan apabila kawasan berkenaan tidak lagi banjir seperti sebelum ini.

“Sebab itu kita tengok, kenal pasti pendekatan jangka panjang kita jalan. Tetapi, yang segera atau quick win yang kita buat dan sudah siap menyelesaikan masalah banjir di Sungai Kandis, Bukit Naga dan banyak tempat lain kita siapkan dalam tempoh dua atau tiga bulan. Itu pun sangat membantu, sebenarnya,” kata beliau.

“Saya yakin tahun depan nanti dengan segala usaha, langkah jangka sederhana akan siap, sementara jangka panjang ada yang akan siap, sebahagiannya juga akan makan masa, tetapi boleh selesai seperti di Sungai Buloh dan Sungai Serai, Hulu Langat. Itu akan mengambil sedikit masa,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Selangor dijangka menghadapi masalah banjir yang lebih teruk menjelang tahun 2040, ekoran fenomena cuaca ekstrem termasuk hujan berterusan melebihi 24 jam.

Situasi itu dijangka berlaku walaupun negeri ini mempunyai 180 projek tebatan banjir melibatkan perbelanjaan lebih RM4 bilion di setiap lembangan sungai.

Pengarah JPS Selangor, Datuk Mohd. Nazri Yasmin, menjelaskan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dibina berdasarkan dasar zoning pembangunan sehingga 2035, termasuk keperluan kapasiti aliran limpahan hujan ke sungai.

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan hampir RM3.5 bilion bagi melaksanakan 18 projek mitigasi banjir jangka panjang, manakala kerajaan negeri menyalurkan RM500 juta untuk 20 projek di seluruh Selangor.

Sementara kerajaan negeri pula meluluskan RM27 juta untuk 142 projek tebatan banjir jangka pendek dalam tempoh dua bulan di lapan daripada 12 PBT.

Projek tebatan banjir di Hulu Langat yang bernilai RM500 juta masih berada di peringkat penerimaan dan reka bentuk. – UTUSAN

 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search