Gempa bumi magnitud 6.1 gegarkan Mindanao
- Admin UKK
- Berita
MANILA: Gempa bumi berukuran 6.1 menggegarkan Mindanao, Filipina, hari ini, menurut Pusat Penyelidikan Geosains Jerman (GFZ).
Seminggu lalu, dua gempa bumi kuat di luar pesisir selatan Filipina mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang, manakala beberapa bandar berhampiran pusat gempa mengalami kerosakan struktur dan pihak berkuasa mengeluarkan amaran mengenai gegaran susulan yang kuat.
Gempa pertama berukuran 7.4 berlaku di perairan berhampiran bandar Manay, wilayah Davao Oriental, mencetuskan amaran tsunami bagi kawasan pantai dalam lingkungan 300 kilometer (km) dari pusat gempa, namun amaran itu kemudian ditarik balik bagi Filipina dan Indonesia.
Gempa kedua berukuran magnitud 6.8 melanda kawasan sama tujuh jam kemudian, sekali lagi mencetuskan amaran tsunami baharu, dengan agensi seismologi negara itu, Phivolcs, memberi amaran mengenai kemungkinan ombak melebihi satu meter daripada paras pasang surut biasa. - REUTERS