30 rumah musnah di kampung atas air
- Admin UKK
- Berita
TAWAU, 14 Dis: Sebanyak 30 rumah perkampungan atas air di Kampung Sri Aman, Lorong Jade 4, Jalan Apas musnah dalam kebakaran malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, panggilan kecemasan diterima sekitar jam 11.23 malam sebelum jentera digerakkan ke lokasi.
“Kebakaran ini melibatkan rumah atas air jenis tidak kekal yang dibina daripada papan dan kayu, dengan anggaran keluasan keseluruhan 262 x 229 kaki persegi,” katanya.
Menurutnya, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak dan menyelamatkan kira-kira 300 rumah berhampiran, sekali gus mengelak kemusnahan lebih besar di kawasan perkampungan padat itu.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan beberapa aliran air termasuk pam angkut dari sumber air terbuka (air laut), jentera FRT, water tanker serta sokongan bomba komuniti,” ujarnya.
Operasi disokong BBP Tawau, BBP Kunak dan Bomba Komuniti Kampung Titingan dengan kerjasama PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sabah Electricity dan Jabatan Air.
Api berjaya dikawal pada jam 12.44 tengah malam dan operasi ditamatkan pada jam 3.10 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dibuat.
Tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban.-TVS
