Kawasan berisiko banjir di Bintangor dipantau rapi
- Admin UKK
- Berita
BINTANGOR, 2 Dis: Kawasan berisiko banjir di sekitar daerah ini kini dalam pemantauan rapi susulan peningkatan paras air sungai dan fenomena air pasang besar yang berlaku sejak beberapa hari lalu.
Sekurang-kurangnya empat kawasan di Bintangor dikenal pasti terdedah kepada risiko banjir, terutama ketika hujan lebat berterusan yang menyebabkan paras air sungai mudah melimpah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, kawasan terbabit ialah Kampung Abang Ali, Meradong; Nanga Stras, Lemayong Julau; Kampung Rambutan Pakan dan Sungai Julau.
Menurut beliau, walaupun tiada laporan kemalangan jiwa diterima setakat ini, penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan peka terhadap perubahan cuaca.
“Keadaan masih terkawal, namun Bomba mengesan peningkatan paras air berpunca daripada air pasang dan hujan lebat yang berlaku sejak semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi daerah Julau, kawasan rendah berhampiran pekan dan pasar turut berisiko dinaiki air, manakala empat lagi lokasi dikenal pasti berada dalam kawasan Pakan.
Jelasnya, kesemua kawasan tersebut mudah dinaiki air apabila taburan hujan berlaku secara lebat dan berlarutan melebihi dua hari.
“Walaupun Sarawak kini berada dalam fasa monsun timur laut, cuaca yang tidak menentu menuntut semua pihak agar sentiasa berwaspada,” katanya.
Menurutnya lagi, selain risiko banjir, perubahan cuaca turut berpotensi membawa masuk haiwan berbisa seperti ular ke kawasan penempatan, justeru keselamatan perlu sentiasa diutamakan. – TVS
