Operasi cari rakyat Malaysia hilang dalam tanah runtuh di Sumatera Barat masih diteruskan - Duta
- Admin UKK
- Berita
MELAKA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang rakyat Malaysia yang hilang dipercayai terbabit dalam tragedi tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia pada 27 November lalu, masih diteruskan sehingga kini.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, berkata operasi itu dilaksanakan pasukan keselamatan Indonesia di wilayah terbabit sejak mangsa, Asrul Nizam Apridwson, dilaporkan hilang.
"Operasi mencari masih diteruskan dan sehingga kini masih belum ada perkhabaran mangsa ditemui," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tragedi banjir besar melanda Padang Panjang mengakibatkan beberapa kenderaan termasuk dinaiki Asrul Nizam bersama ahli keluarganya dihanyutkan.
Kelmarin, Kementerian Luar mengesahkan mangsa hilang dalam tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat, dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan akan terus berhubung dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia, Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Sumatera Barat, serta polis tempatan (Polres Padang Panjang) untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi SAR.
