Banjir Hatyai: Rakyat Malaysia terkandas kini tak lebih 300 orang - Mohamad Hasan
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Jumlah rakyat Malaysia yang masih terkandas akibat bencana banjir di Hatyai, Selatan Thailand, sudah berkurang kepada bawah 300 orang sehingga malam tadi, berbanding 1,500 yang dilaporkan petang semalam.
Maklumat itu adalah berdasarkan laporan diterima Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dari Kedutaan Malaysia di Thailand, malam tadi.
Mohamad berkata, operasi menyelamat bagi membawa semua rakyat Malaysia keluar dari kawasan terjejas itu akan diteruskan dan dijangka berakhir hari ini.
"Anggaran rakyat Malaysia yang masih terkandas kini berkurangan dengan ketara di bawah 300 orang. Sehingga penghujung hari semalam, hanya dua hotel sasaran di Hatyai masih belum dapat dicapai," katanya, di sini.
Sehingga semalam, Setiausaha Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam Kementerian Luar, Zamshari Shaharan, dilaporkan berkata, seramai 6,000 rakyat Malaysia sudah diselamatkan dan dibawa keluar dari Hatyai susulan banjir.
Zamshari dilaporkan berkata, setakat jam 3 petang semalam, kira-kira 1,500 rakyat Malaysia masih terkandas dengan operasi menyelamat sedang dilaksanakan.
Pada masa sama, Mohamad berkata, bagi operasi semalam, sejumlah 1,459 orang berjaya dikeluarkan dari lebih 25 hotel sebelum dipindahkan ke Bukit Kayu Hitam.
Ia dilaksanakan melalui tujuh kumpulan yang diselaraskan bersama Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Konsulat Malaysia di Songkhla, Tentera Diraja Thailand (RTA) dan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia.
"Operasi menyelamat 38 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula pada jam 8 pagi dan selesai sekitar jam 1 tengah hari semalam dengan bantuan RTA.
"Setelah hujan berhenti, banjir di Hatyai surut dengan baik, semalam. Paras air sudah cukup rendah untuk kenderaan berat masuk kecuali di beberapa kawasan yang masih dalam," katanya.
