Sarawak tawar pengalaman urus empangan di kawasan tropika
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 5 Nov: Sarawak bersedia berkongsi pengalaman dalam pengurusan empangan berskala besar di kawasan beriklim tropika, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Malah beliau berkata wilayah ini bersedia untuk menyerap kebijaksanaan kolektif serta mengamalkan amalan terbaik dalam bidang tersebut.
Sehubungan itu, beliau menyarankan para peserta Persidangan Antarabangsa Ke-3 Mengenai Pengurusan dan Kejuruteraan Keselamatan Empangan (ICDSME) 2025 memanfaatkan sepenuhnya perkongsian penganjurannya.
“Jadikan persidangan ini lebih daripada sekadar sesi pembentangan kertas kerja. Biarlah ia menjadi landasan kepada jalinan kerjasama baharu serta usaha membina infrastruktur yang berdaya tahan, bukan sahaja untuk dekad akan datang tetapi juga untuk abad seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki bagi merasmikan persidangan tersebut di sini, hari ini.
Abang Johari turut menyifatkan, persidangan ini sebagai langkah penting ke arah memantapkan kecekapan profesional dalam keselamatan empangan.
Katanya, ia juga berperanan memupuk kecemerlangan serta memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam bidang kejuruteraan empangan.
“Di peringkat global, ICOLD telah berdiri kukuh hampir satu abad sebagai pihak berkuasa terkemuka dunia dalam bidang kejuruteraan dan keselamatan empangan.
“Misinya bukan sekadar memastikan empangan dibina dan dikendalikan dengan selamat serta cekap, tetapi juga menegakkan prinsip kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab sosial,: ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berharap, ICOLD akan terus menjadi sumber inspirasi kepada inovasi, perkongsian risiko dan pertukaran pengetahuan merentasi sempadan dalam kalangan lebih 100 jawatankuasa kebangsaan di seluruh dunia. – TVS
