Banjir Pulau Pinang: Suria cemas dukung bayi redah banjir, Maimunah risau ancaman tedung selar
- Admin UKK
- Berita
TASEK GELUGOR: Seorang suri rumah cemas meredah banjir paras paha sambil mendukung bayi perempuan berusia lima bulan menuju ke pusat pemindahan sementara (PPS) sejauh kira-kira 500 meter di Kampung Labuh Banting, di sini.
Suria Abdul Hadi, 34, berkata air mula naik jam 1 pagi kelmarin, namun dia tidak menyangka ia begitu cepat sehingga mencecah paras paha lalu membuat keputusan berpindah pada jam 11 pagi hari sama.
"Saya tak sangka air naik begitu pantas kerana rumah kami jenis bertiang tinggi. Bila lihat kawasan di sekitar rumah sudah dikelilingi air dan seolah-olah terkepung, kami ambil keputusan berpindah. Saya mendukung bayi, Amanda Lufia Muhammad Razmi.
"Suami dukung anak sulung berumur lapan tahun sambil bawa barang-barang. Lintah pun banyak masa itu," katanya ketika ditemui pada lawatan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid di PPS berkenaan, di sini hari ini.
Ibu dua anak itu pernah berdepan pengalaman jauh lebih teruk pada 2017 apabila banjir melepasi paras dada dan ketika itu, dia juga baru beberapa hari berpantang selepas melahirkan anak sulungnya.
"Kalau diikutkan, memang tiap-tiap tahun banjir kerana rumah kami berada di tepi sungai. Tahun ini, suami bina rumah lebih tinggi di sebelah rumah lama, tetapi tak sangka tetap dinaiki air," katanya.
Sementara itu, Maimumah Yaakub, 76, yang tidak boleh berjalan kerana kaki kanannya patah akibat terjatuh terpaksa dikendong anak lelakinya dan hanya sempat mencapai dokumen peribadi dan beberapa helai pakaian.
"Peti ais, mesin basuh, tikar dan tilam semua terendam air. Tak sempat buat apa-apa, nak berjalan pun tak boleh, semua tunggang langgang. Suami pula rabun, memang risau sungguh masa anak dukung redah banjir walaupun hanya paras lutut.
"Ini kerana kawasan rumah kami dalam kebun kelapa sawit dan sudah banyak kali jumpa ular tedung selar serta sawa," katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, kurang 10 peratus mangsa banjir di Pulau Pinang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dengan pemantauan masih dijalankan pihak berkuasa bagi memastikan keadaan benar-benar selamat dan terkawal.
Jumlah mangsa ditempatkan di semua tujuh PPS kekal 1,041 orang seperti semalam dengan tiada kesesakan dilaporkan di semua PPS yang dibuka di tiga daerah di negeri ini setakat ini.
"Semua PPS setakat ini memang penuh melebihi jangkaan kita, tapi tak sesak kerana ruang cukup untuk semua dan tidak melebihi kapasiti. Mudah-mudahan mereka dapat kembali ke rumah dalam tempoh terdekat, cuaca pun semakin baik dan banjir juga semakin surut," katanya.
Terdahulu, Mohamad meninjau dan menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi, Dewan Labuh Banting, SK Guar Perahu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir.
Mangsa membabitkan 287 keluarga meliputi daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Barat Daya. Seramai 791 penduduk daripada 218 keluarga berada di empat PPS di SPU, 220 daripada 60 keluarga di dua PPS di SPT dan 31 daripada sembilan keluarga di sebuah PPS di Barat Daya.
