Bomba kesan 10 titik panas banjir di Tapah, Tanjung Malim
- Admin UKK
- Berita
TAPAH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah mengenal pasti 10 lokasi hot spot (titik panas) sekitar Tapah dan Tanjung Malim yang berisiko berlakunya bencana banjir ekoran musim tengkujuh konsisten di negeri ini sekarang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Zon 4 Tapah, Khairul Anuar Mhd. Sayuti berkata, tujuh lokasi itu terletak di Tapah iaitu Kampung Batu 16 hingga Kampung Batu 3, Jalan Pahang dan Taman Perumahan Awam Batu 13 Temoh.
“Selain itu, Taman Orkid, Kampung Baru China Chenderiang, Kampung Pasir Temoh, Taman Saujana Indah, Tapah Road dan Kampung Rahmat, Bidor.
“Bagi daerah Tanjung Malim pula tiga lokasi iaitu Kampung Klah Baru Sungkai, Kampung Menderang, Sungkai dan Kampung Poh,” katanya kepada pemberita di Taman Tasik Temoh, di sini hari ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir berucap sebelum merasmikan Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti Sempena Persediaan Monsun Timur Laut (MTL) Zon 4 JBPM Perak Tahun 2025.
Penyerahan dua buah bot lengkap dengan peralatan serta enjin itu masing-masing setiap satu kepada Kampung Batu Masjid Tapah dan Kampung Menderang, Sungkai.
Ia berperanan sebagai langkah penyelamatan awal sekiranya berlaku bencana banjir dan kejadian kepala air di 10 lokasi titik panas tersebut.
Setakat ini, usaha awal telah dijalankan agensi kerajaan terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan ADUN kawasan terbabit seperti usaha mengorek dan mendalamkan sungai, parit dan pembinaan benteng (ban) banjir bagi mengurangkan risiko bencana tersebut di dua daerah ini.
Dalam pada itu, Khairul Anuar memaklumkan terdapat kira-kira 150 ahli bomba komuniti di Tapah dan Tanjung Malim yang merangkumi 25 pasukan berperanan memberikan bantuan awal segera kepada mangsa banjir sebelum ketibaan pasukan rasmi.
Sementara itu, Mohamad Yusri berharap kemudahan bot bomba itu dapat diselia dengan baik supaya dapat dimaksimumkan kegunaannya sekiranya berlaku bencana banjir di Tapah dan Tanjung Malim kelak. – UTUSAN
