Ketiadaan pintu air punca Kampung Dew dilanda bah
- Admin UKK
- Berita
BAGAN SERAI: Ketiadaan pintu air berhampiran parit ladang sawit di Ban Tali Air 463 dipercayai antara punca utama banjir yang menenggelamkan beberapa kawasan penempatan di Kampung Dew, Semanggol di sini.
Penduduk, Ahmad Abdul Hamid, 68, berkata, kawasan itu sebelum ini tidak pernah dilanda bah, meskipun hujan lebat dan berlaku limpahan air dari Sungai Sepetang.
“Saya selalu memancing di belakang kampung ini. Bila tengok air naik sampai ke kawasan rumah, saya tinjau kawasan perparitan berhampiran.
“Saya dapati selepas pembinaan jambatan baharu di Parit Ban Tali Air 463, pintu air lama tidak dibina semula. Akibatnya, air yang masuk ke sistem perparitan tidak dapat dikawal dan terus melimpah ke kawasan rumah penduduk,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurut Ahmad, selain pintu air, ketiadaan ban tambatan yang tinggi di kawasan parit ladang sawit turut menyebabkan air deras mengalir masuk ke penempatan penduduk apabila hujan berterusan, termasuk berlakunya limpahan air Sungai Sepetang.
“Air tidak pernah masuk ke kawasan rumah sebelum ini kerana adanya pintu air. Tetapi bila bina jambatan tanpa bina semula pintu air, air terus masuk dengan laju ke kawasan kampung,” katanya.
Ahmad berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat menjalankan tinjauan segera di lokasi bagi menilai semula struktur saliran dan mengambil langkah penambahbaikan bagi mencegah kejadian sama berulang.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Faizal Zakaria, 48, berkata, air memasuki kawasan rumahnya secara perlahan sebelum meningkat dengan cepat dalam tempoh singkat.
“Mula-mula air masuk sikit di halaman, tapi makin lama makin dalam. Kami sekeluarga hanya sempat selamatkan barang-barang penting sebelum berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Dew,” katanya.
Tinjauan di Parit Ban Tali Air 463 mendapati, ketiadaan pintu air di kawasan simpang tiga saluran parit menyebabkan limpahan air tidak dapat dialirkan keluar dengan baik, sekali gus mengakibatkan kawasan penempatan berhampiran ditenggelami air. – UTUSAN
