Sichuan beri amaran hujan lebat, aktifkan tindakan kecemasan banjir
- Admin UKK
- Berita
SICHUAN, 29 Jun- Wilayah Sichuan di barat daya China mengaktifkan amaran hujan lebat dan tindakan kecemasan banjir susulan ramalan cuaca menjangkakan ia akan berterusan di beberapa kawasan dari Ahad hingga Isnin.
Menurut Jabatan Meteorologi tempatan, semua bandar di Lembangan Sichuan akan mengalami hujan dan ribut petir bermula pukul 8.00 pagi Ahad hingga 8.00 pagi Isnin, dengan beberapa kawasan dijangka menerima hujan lebat lebih dari kebiasaan.
Ibu Pejabat Kawalan Banjir dan Bantuan Kemarau Wilayah Sichuan telah mengaktifkan tindak balas kecemasan tahap IV bagi kawalan banjir, iaitu tahap paling rendah dalam sistem empat peringkat kecemasan negara China.
Pada hari sama, Balai Pemerhatian Meteorologi Sichuan turut mengeluarkan amaran kuning, iaitu tahap ketiga dalam sistem amaran cuaca negara itu dan meramalkan hujan lebat hingga sangat lebat di 16 bandar.
Beberapa kawasan dijangka mengalami hujan sangat lebat dalam tempoh singkat, dengan jumlah maksimum antara 70 hingga 90 milimeter sejam, disertai guruh, kilat serta angin kencang.
Setakat malam Ahad, seramai 29,142 penduduk dari 57 daerah di peringkat wilayah telah dipindahkan lebih awal ke lokasi selamat. Tiada laporan korban jiwa diterima setakat ini.
Hujan lebat berskala besar itu turut mencetuskan amaran kemungkinan berlaku banjir kilat di kawasan pergunungan di Sichuan serta wilayah berhampiran seperti Chongqing dan Yunnan.
Kementerian Sumber Air dan Pusat Meteorologi Kebangsaan China mengeluarkan amaran merah bagi risiko bencana banjir di kawasan gunung selain meramalkan kemungkinan berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan di timur Sichuan, barat Chongqing dan timur laut Yunnan.
Pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa kawasan pergunungan lain juga berisiko mengalami banjir kilat akibat hujan lebat dalam tempoh singkat.
Semua agensi kerajaan dan penduduk perlu mengambil langkah berjaga-jaga termasuk pemantauan masa nyata, pengeluaran amaran awal serta arahan pemindahan bagi mengelakkan sebarang tragedi.- REUTERS