PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kebakaran gas Putra Heights: Penduduk dakwa tidak diberi penjelasan pelan tindakan

Kebakaran gas Putra Heights: Penduduk dakwa tidak diberi penjelasan pelan tindakan

SUBANG JAYA: Memasuki hari ke-20 sejak insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini, penduduk mendakwa masih belum menerima sebarang penjelasan rasmi berhubung pelan tindakan susulan daripada kerajaan mahupun pihak-pihak berkaitan.
 
Wakil penduduk, Mohd Badly Nordin berkata, meskipun terdapat maklumat awal bahawa Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan menjalankan kerja-kerja baik pulih rumah yang rosak, namun sehingga kini tiada keputusan muktamad atau penjelasan terperinci berhubung spesifikasi pembinaan semula diberikan.
 
“Kami nak tahu dengan jelas SPNB nak baiki ikut spesifikasi rumah asal kami atau bina ikut standard mereka sahaja? Setakat ini, tiada sebarang taklimat dari Menteri Besar (Selangor), Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan atau Ahli Parlimen.
 
"Kami hanya dengar cakap-cakap, bukan pelan tindakan rasmi," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Penubuhan Jawatankuasa Bertindak, di sini, semalam.
 
Lebih membimbangkan, dakwa Mohd Badly, ada penduduk diminta membaiki kediaman masing-masing menggunakan wang sendiri atau sumbangan awal yang telah diterima, tanpa jaminan yang meyakinkan.
 
"Kami diminta baiki dulu, ambil gambar sebelum dan selepas. Tetapi kami risau kalau lepas siap baiki, pihak berwajib senyap dan tak ambil kira kerosakan yang telah kami tanggung," katanya lagi.
Dalam masa sama, penduduk turut mempersoalkan mekanisme bantuan yang akan digunakan, khususnya melibatkan pemilik yang memiliki lebih daripada satu rumah termasuk rumah sewa di kawasan berkenaan.
 
"Kami perlukan kejelasan, adakah bantuan akan merangkumi rumah sewa juga, atau hanya rumah yang didiami pemilik sepenuhnya?” soalnya.
Sehubungan itu, sebuah Jawatankuasa Bertindak ditubuhkan bagi memperjuangkan hak semua mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran tersebut.
 
Jawatankuasa itu antara lain akan memastikan semua mangsa menerima pembelaan sewajarnya serta pampasan yang setimpal atas segala bentuk kerosakan, kesakitan dan kerugian yang dialami.
Justeru, penduduk berharap agar kerajaan negeri tampil segera memberi penjelasan rasmi dan tidak terus membiarkan mereka menunggu dalam ketidakpastian.
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search