PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Harga rumah di Putra Heights dijangka pulih, hanya terjejas sementara

Harga rumah di Putra Heights dijangka pulih, hanya terjejas sementara

PADA syawal kedua, 1 April lalu, negara digemparkan dengan letupan gas di Putra Heights yang kejadian letupan saluran paip gas yang berlaku pada sekitar pukul 8 pagi. 

Letupan itu bukan sahaja mengancam nyawa penduduk sekitar malah, turut terkesan harta benda termasuk rumah yang seakan-akan hangus akibat kebakaran dalam kejadian tersebut. 

Selepas dua minggu berlalu, insiden tersebut masih lagi menjadi tajuk berita berikutan kawasan terjejas mengalami kemusnahan yang agak teruk sehinggakan penduduk tidak mempunyai rumah untuk diduduki. 

Ada antara penduduk yang terpaksa menunggu rumah sementara dan ada juga penduduk yang tekad berpindah ke tempat lain.

Namun, melihat situasi terkini, bagaimana harga hartanah di Putra Height? Adakah kawasan itu masih mengekalkan harga semasa atau pun sudah mula menunjukkan penurunan susulan insiden letupan gas itu?

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, insiden letupan paip gas di Putra Heights dijangka hanya memberi kesan sementara terhadap harga rumah di kawasan itu.

“Harga rumah di kawasan terdekat letupan dijangka menurun dalam jangka pendek, namun akan pulih semula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Beliau menjelaskan, rumah yang terjejas memerlukan pembaikan besar dan kawasan itu akan menjadi zon pembinaan untuk beberapa bulan. 

“Ini mungkin menjejaskan minat pembeli buat sementara waktu. Namun, ramai pemilik rumah mungkin memilih untuk menangguhkan penjualan hingga pasaran pulih yang boleh memberi pulangan sehingga RM200,000 lebih tinggi berbanding menjual tergesa-gesa,” katanya. 

Tambah beliau, insiden ini adalah tragedi sekali sahaja dan tidak akan memberi kesan jangka panjang kepada nilai hartanah. 

Kashaf berkata, Putra Heights masih mempunyai daya tarikan infrastruktur kukuh, kemudahan lengkap, dan komuniti yang mapan.

“Data Juwai IQI menunjukkan harga median rumah di Putra Heights sekitar RM845,000,” katanya. 

Kashaf menambah, sekiranya tindak balas terhadap tragedi ini dikendalikan dengan penuh kepekaan dan ketelusan serta meyakinkan orang ramai, tarikan asas kawasan tersebut merupakan utama orang memilih untuk tinggal di situ akhirnya akan menarik pembeli kembali.

Ketika ini, rumah teres tiga bilik telah terjual antara RM690,000 hingga RM886,000, manakala, rumah teres sudut yang lebih besar boleh mencecah RM1.3 juta di Putra Height.

Sementara itu, Ejen Hartanah Berdaftar, IQI Realty Sdn. Bhd., Muhazrol Muhamad berkata, dia melihat insiden letupan paip gas di Putra Heights telah mengubah cara pembeli menilai risiko sesebuah hartanah. 

“Walaupun laluan paip bawah tanah seperti ini telah lama wujud, ia jarang menjadi faktor utama dalam keputusan pembelian tidak seperti pencawang elektrik yang lebih mudah dilihat.  

“Bagaimanapun, letupan yang berlaku dan skala kerosakan yang besar amat membimbangkan. Ia menjadi peringatan jelas bahawa risiko infrastruktur bawah tanah tidak boleh dipandang ringan. 

“Kami mula menerima lebih banyak pertanyaan daripada pembeli, bukan sahaja di Putra Heights, tetapi juga di kawasan lain yang dipercayai terletak di sepanjang laluan paip,” katanya.

Jelas Muhazrol, kewujudan paip gas kini mula diambil kira secara serius dalam proses membuat keputusan membeli rumah.  

“Bagi pemilik sedia ada di kawasan terjejas, khususnya di Putra Heights, situasi ini mungkin memberi kesan terhadap daya tarikan hartanah mereka. 

“Sekiranya pembeli merasa ragu-ragu untuk membeli, ada kemungkinan harga pasaran di kawasan tersebut akan terjejas dalam jangka pendek,” katanya.

Muhazrol turut menyarankan agar pihak berkuasa menjalankan audit menyeluruh terhadap laluan paip aktif, serta menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) dan panduan keselamatan sedia ada. 

Katanya, maklumat berkenaan lokasi laluan paip juga wajar disediakan secara telus kepada orang awam, bagi membolehkan pembeli membuat keputusan dengan lebih yakin.  

“Sebagai pemain industri, kami juga bersedia bekerjasama dalam meningkatkan kesedaran keselamatan hartanah dan membantu memulihkan keyakinan pasaran,” katanya.-UTUSAN

 

      

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search