Letupan paip gas: Polis sahkan ada aktiviti pengorekan tanah di lokasi, siasatan lanjut masih dijalankan
- Admin UKK
- Berita
SUBANG JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat aktiviti pengorekan tanah di sekitar lokasi sebelum insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku pada 1 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata aktiviti itu membabitkan kerja penggantian paip kumbahan yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi letupan.
“Polis dah kenal pasti pemaju, kontraktor, sub kontraktor, pekerja-pekerja yang terlibat yang mengggunakan dua jentera, satu ‘backhoe’ dan satu lagi ‘excavator’ yang digunakan untuk mengorek tanah kawasan itu untuk menggantikan paip kumbahan sedia ada dan kerja-kerja tersebut telah dihentikan pada 30 Mac lalu.
“Hasil daripada siasatan pihak polis mendapati, salah satu ‘excavator’ yang diletakkan di lokasi turut terbenam dalam lubang itu.
“Adakah aktiviti itu boleh menyebabkan letupan?, ia adalah satu perkara yang perlu disiasat lanjut untuk mengenal pasti perkara yang lain, maklumat yang perlu dikumpulkan apabila kita menggali lubang itu untuk mendapatkan maklumat fizikal yang lain yang boleh merumuskan adakah aktiviti itu boleh menyebabkan letupan membabitkan paip gas,” katanya dalam sidang media di sini, sebentar tadi.
Tambahnya, pihak polis memerlukan masa lagi untuk menjalankan siasatan terperinci di lokasi kejadian, memandangkan kawasan itu masih belum stabil.
“Pihak JKR menganggarkan memerlukan lebih kurang dua minggu untuk menghasilkan laporan awal bersama dengan agensi-agensi lain, dan dua minggu seterusnya untuk menghasilkan satu laporan yang penuh sebab dia punya keadaan yang kompleks.” ujarnya lagi.
Pihaknya juga telah membuka kertas siasatan dibawah inkuiri polis, yang mempunyai kuasa untuk memanggil pelbagai pihak untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu.