Uncle Kentang luah kebimbangan usia lanjut, sediakan ambulans bantu mangsa dan haiwan. 'Lihat kereta melebur, peralatan cair...'
- Admin UKK
- Berita
SYAWAL kedua yang sepatutnya disambut dengan penuh keceriaan bertukar menjadi detik hitam buat sekumpulan petugas penyelamat apabila letupan paip bocor mencetuskan kebakaran besar.
Api marak, bahang membakar, dan suasana kelam-kabut menyelubungi kawasan penduduk Putra Heights. Namun, di tengah kekacauan itu, lahirlah wira-wira tidak didendang yang bertarung nyawa demi menyelamatkan insan lain.
Menerusi perkongsian di Facebook, Chee Heng Kuan mengakui rasa bimbang menyelubungi dirinya, lebih-lebih lagi mengenangkan usianya yang sudah lanjut serta keselamatan pasukannya yang terdedah kepada risiko letupan.
Menurut Heng Kuan yang juga ketua pasukan ambulans di lokasi, melihat sendiri situasi genting yang berlaku benar-benar menguji ketahanan diri.
Namun, isyarat ‘thumbs up’ daripada anggota bomba yang juga sifunya menjadi pembakar semangat untuk terus bertahan di lokasi kejadian.
"Sebagai ketua pasukan ambulans, saya risau. Saya ini sudah tua. Banyak perkara bermain di fikiran saya.
"Tapi saya nampak cikgu bomba saya. Dia berikan isyarat 'thumbs up'. Seperti sihir, tiba-tiba saya jadi lebih berani. Sebab sifu saya ada di medan. Tiada kata-kata, hanya isyarat tangan. Dan itu sudah cukup untuk menaikkan semangat saya," tulisnya.
Demi mengharungi suasana yang ibarat neraka dunia, seorang pegawai bomba berpangkat tinggi tetapi bertubuh kecil dilihat bergerak lincah di celah deretan rumah yang terbakar, gigih mencari dan menyelamatkan penduduk terjejas.
"Seorang pegawai berpangkat tinggi yang bertubuh kecil tetapi bergerak pantas di antara deretan rumah yang terbakar.
"Api sangat nyata dan sangat dekat. Kami dapat rasa bahangnya. Pegawai muda dan kecil itu mengarahkan anak buahnya memakai baju api dan membawa BA (breathing apparatus) kalau-kalau diperlukan," katanya.
Bagi pasukan yang dikendalikan Heng Kuan, bukan sahaja nyawa manusia menjadi keutamaan, malah haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing turut diberi perlindungan daripada ketakutan dan bahang api yang menjulang tinggi.
Keadaan digambarkan begitu genting apabila kereta melebur, alat permainan kanak-kanak di taman cair, dan pokok-pokok rentung akibat bahang yang membakar.
Dalam situasi mencemaskan itu, operasi evakuasi menjadi semakin mencabar dengan ambulans yang penuh sesak.
"Di mana-mana kami melihat kereta melebur, malah peralatan taman permainan turut cair. Pokok-pokok hangus terbakar.
"Kami berada di sana untuk mengevakuasi 35 penduduk, termasuk enam kanak-kanak. Banyak haiwan peliharaan, terutamanya anjing.
"Ambulans kami penuh sesak. Satu ambulans khas digunakan untuk membawa anjing dan kucing. Ambulans lain bimbang terkena isu ‘samak’ nanti atau ada pihak yang tidak senang dengan ambulans membawa haiwan," luahnya lagi.
Semestinya, mangsa yang terjejas paling merasai derita pada Syawal kedua tatkala ada yang muncul berkaki ayam, mata merah menahan tangisan, mengenangkan nasib yang berubah sekelip mata, meranapkan kegembiraan yang sepatutnya dirai.
Namun begitu, Chee Heng yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang meluahkan rasa syukur kerana tiada nyawa terkorban dalam tragedi memilukan itu.