'Tiada apa lagi yang tinggal, sambut raya ala kadar sahaja' - Mangsa banjir
- Admin UKK
- Berita
JOHOR BAHRU: Sambutan Aidilfitri tahun ini paling syahdu dan pilu bagi mangsa banjir di Johor apabila mengenang kesan kerosakan dialami masing-masing, selain timbunan kelengkapan rosak dan dipenuhi lumpur.
Meskipun banjir surut sejak Jumaat lagi, kerja pembersihan belum selesai sehingga hari ini dengan penduduk tidak menolak kemungkinan ia akan berlarutan sehingga Syawal.
Tinjauan BH di Kampung Seri Jaya, Taman Perling di sini mendapati sampah dan sisa kerosakan akibat banjir dikumpulkan penduduk di tepi jalan untuk memudahkan kutipan dilakukan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan.
Malah sepanjang laluan di bahu jalan dari Kampung Jaya Baru menuju Kampung Seri Sedang Baru dipenuhi sisa sampah barangan penduduk yang rosak dan musnah akibat banjir.
Seorang penduduk, Rubiah surat, 74, menyifatkan banjir melanda paling buruk sejak menetap di kawasan itu 50 tahun lalu sehinggakan dia sendiri tidak mampu lagi bersedih melihat keadaan rumah, pakaian, televisyen, mesin basuh, peti air yang semuanya dipenuhi lumpur.
"Tiada satu pun pakaian kering untuk kami, semuanya basah terkena banjir. Baju raya lengkap yang anak belikan untuk makcik dan pakcik juga basah dan berbau busuk.
"Makcik keluar rumah ketika banjir Khamis lalu, sehelai sepinggang. Beg dijunjung hanya ada dokumen," katanya.
Ditanya mengenai kerosakan, Rubiah berkata kediaman serta barangan termasuk makanan seperti beras dan ayam yang dibelanjakan sehari sebelum banjir melanda rosak dan busuk.
Bukan itu sahaja, katanya kuih raya yang dibeli juga digenangi air dan rosak semuanya.
"Sedih lihat makanan rosak, bawang, pinggan mangkuk plastik habis berbau busuk, terpaksa buang... kalau gunakan semua bimbang jadi penyakit.
"Raya kali ini tetap raya tetapi memang tiada apa, ziarah kubur dan duduk di rumah. Juadah raya pun belum fikir macam mana nak masak sebab dapur dan tong beras pun hanyut.
"Tangan dan kaki tak tahu nak gambarkan sakit dan lenguh macam mana sebab berkemas tak berhenti. Anak-anak datang hujung minggu lalu, kerja berat basuh rumah semua mereka buat, makcik nak selesaikan basuhan kain baju yang masih elok boleh basuh, makcik basuh dan jemur.
"Nak hantar dobi semua penuh sampai sebelum sahur pun ada orang cuci baju," katanya.
Nasib sama menimpa suri rumah, Jamaliah Yusuf, 45, yang menanggung kerugian apabila biskut raya dijual secara tempahan hanyut dan rosak semuanya, manakala permaidani dan pakaian raya yang dibeli basah dan berbau busuk.
"Sehari sebelum banjir, nasib baik dapat hantar sebahagian besar kuih tempahan pelanggan. Ada sebahagian lagi rosak dan dibuang.
"Baju raya memang sediakan awal untuk sekeluarga, tetapi semuanya sudah basah. Apa yang boleh guna kita guna semula. Raya ala kadar saja tahun ini penuh dugaan buat kami," katanya.