2 sekolah terjejas bah dibuka semula selepas cuti raya
- Admin UKK
- Berita
Johor Bahru: Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Tebrau dan SK Maju Jaya di Seelong, di sini yang terjejas banjir sejak Khamis lalu, melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) sehingga esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, berkata dua sekolah itu paling teruk terjejas dengan kerosakan dan anggaran kerugian lebih RM100,000.
Beliau berkata, pembelajaran secara fizikal dijangka dimulakan di dua sekolah berkenaan selepas cuti persekolahan sempena hari raya nanti.
“Lapan sekolah yang terjejas akibat banjir buruk sejak Khamis lalu. Namun, lima sekolah, iaitu SK Kampung Pulai dan SK Tampoi Utama di Johor Bahru, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Jaya, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Hwa dan SK Bandar di Kota Tinggi serta SK Seri Perpat di Batu Pahat beroperasi secara fizikal semalam (kelmarin).
“Dua sekolah SK Kangkar Tebrau dan SK Maju Jaya ini tidak dapat beroperasi kerana banyak peralatan sekolah mengalami kerosakan teruk. Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) mengambil keputusan melaksanakan PDPR untuk minggu akhir ini sebelum cuti hari raya.
“Dijangka dua sekolah akan beroperasi selepas cuti hari raya, namun bergantung kepada kelengkapan sekolah sekiranya masih tidak boleh digunakan, PDPR akan disambung bergantung kepada keadaan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri kepada Mahasiswa Anak Johor di Ayer Molek, di sini kelmarin.
Aznan berkata, dua sekolah berkenaan terjejas teruk terutama di tingkat satu yang menempatkan kelas, makmal komputer, dataran perhimpunan serta kantin.
Katanya, pihaknya memaklumkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung kerosakan terbabit. “Saya tak dapat anggaran jumlah kerugian tetapi anggaran kasar lebih RM100,000,” katanya.
Khamis lalu, Aznan memaklumkan sesi pembelajaran di 20 sekolah dalam daerah Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi terjejas akibat banjir, susulan hujan berterusan iaitu tujuh dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), dua dinaiki air dan 11 terputus hubungan.