PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Mangsa banjir di Johor sambut Syawal ala kadar

Mangsa banjir di Johor sambut Syawal ala kadar

Sambutan Aidilfitri tahun ini paling syahdu dan pilu bagi mangsa banjir di Johor apabila mengenang kesan kerosakan dialami, selain timbunan kelengkapan rosak dan dipenuhi lumpur.

Meskipun banjir surut sejak Jumaat lagi, kerja pembersihan belum selesai sehingga semalam dengan penduduk tidak menolak kemungkinan ia akan berlarutan sehingga Syawal.

Tinjauan BH di Kampung Seri Jaya, Taman Perling di sini mendapati sampah dan sisa kerosakan akibat banjir dikumpulkan penduduk di tepi jalan untuk memudahkan kutipan dilakukan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan.

Malah sepanjang laluan di bahu jalan dari Kampung Jaya Baru menuju Kampung Seri Sedang Baru dipenuhi sisa sampah barangan penduduk yang rosak.

Pakaian raya rosak, berbau

Seorang penduduk, Rubiah surat, 74, menyifatkan banjir melanda paling buruk sejak menetap di kawasan itu 50 tahun lalu sehinggakan tidak mampu lagi bersedih melihat keadaan rumah yang dipenuhi lumpur.

“Tiada satu pun pakaian kering untuk kami, semuanya basah terkena banjir. Baju raya lengkap yang anak belikan untuk mak cik dan pak cik juga basah dan berbau busuk.

“Mak cik keluar rumah ketika banjir Khamis lalu, sehelai sepinggang. Beg dijunjung hanya ada dokumen,” katanya.

Ditanya mengenai kerosakan, Rubiah berkata, kediaman serta barang termasuk makanan seperti beras dan ayam dibelanjakan sehari sebelum banjir rosak dan busuk.

Bukan itu sahaja, katanya, kuih raya dibeli juga digenangi air dan rosak semuanya.

“Raya kali ini tetap raya, tetapi memang tiada apa, ziarah kubur dan duduk di rumah sahaja. Juadah raya pun belum fikir macam mana nak masak sebab dapur dan tong beras pun hanyut,” katanya.

Nasib sama menimpa suri rumah, Jamaliah Yusuf, 45, yang menanggung kerugian apabila biskut raya yang dijual hanyut dan rosak, manakala permaidani dan pakaian raya dibeli basah dan berbau.

“Baju raya memang sediakan awal untuk sekeluarga, tetapi semuanya sudah basah. Apa yang boleh guna kita guna semula. Raya ala kadar sahaja tahun ini,” katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search