PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Selangor wujud gudang makanan kecemasan

Selangor wujud gudang makanan kecemasan

PELABUHAN KLANG: Selangor menjadi negeri pertama di negara ini yang menyediakan gudang makanan dalam usaha memperkukuh sistem keselamatan bekalan makanan terutama ketika berdepan kecemasan atau bencana.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelancaran Gudang Makanan Selangor (GMS) hari ini, bermula dengan simpanan stok dua bekalan makanan utama iaitu 5,000 tan metrik beras dan 1 juta kilogram daging sejuk beku.

Menurutnya, objektif penubuhan GMS adalah menstabilkan bekalan dan harga makanan, memperkukuh rantaian bekalan dan logistic, menyokong usahawan dan petani tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada import.

“(Tujuan GMS dilancarkan) Dalam tempoh kecemasan, ada bencana besar, ada pandemik, tidak boleh ada pergerakan, jadi paling tidak, kita yakin tiga bulan kita boleh bertahan.

“Ataupun dalam saat tertentu, ia boleh menjadi penimbal kepada harga. Kadang-kadang harga melambung disebabkan faktor tertentu dan kita boleh kembalikan di pasaran dengan harga yang jauh lebih berpatutan kepada rakyat, kalau tidak pun diberi secara percuma mungkin ada subsidi yang disimpan kepada rakyat.

“Keselamatan bekalan makanan ini lebih kepada makanan ruji terutama sumber protein dan karbohidrat sahaja yang boleh menyambung kehidupan rakyat seperti beras, daging, ayam, ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan pelancaran GMS di Bandar Sultan Suleiman di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Dr Mohamad Khairulil Mohamad Razi.

Amirudin berkata, ketika ini kerajaan negeri melalui PKPS menyewa sebahagian gudang Tiong Nam sebagai tempat simpanan daging sejuk beku dan beras berkenaan.

“Kita sudah kenal pasti tapak sebenar GMS di daerah Kuala Selangor dengan keluasan kira-kira 4.046 hektar, sekarang sedang tunggu proses Kebenaran Merancang (KM), tanah dan sebagainya, (dan) dijangka akan siap dibina dalam tempoh satu tahun setengah.

“Apabila kita ada gudang sendiri kelak, kita boleh laporkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

“Gudang ini akan menjadi satu kawasan keselamatan yang tidak boleh dimasuki atau dicabar mana-mana pihak,” katanya.

Beliau juga memaklumkan stok di gudang itu tidak akan disimpan selamanya, sebaliknya dikeluarkan dan diganti baharu secara berterusan.

“Tengok kepada tempoh luput produk itu, contohnya daging tempohnya boleh simpan sehingga dua tahun.

“Kalau ada keperluan untuk dipasarkan, kita pasarkan, tidak tunggu tarikh luput sebab kita ada jajaran kita, kita cipta pasaran kita sendiri dalam Jelajah Ehsan Rakyat (JER), Ehsan Mart dan juga pasar borong,” katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search