Kerajaan salur dana RM50.61 juta bantu mangsa banjir Johor
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan melalui Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), menyalurkan dana bernilai RM50.61 juta bagi membantu mangsa banjir yang sedang melanda Johor.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jumlah itu termasuk RM50 juta untuk Bantuan Wang Ihsan (BWI).
"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, saya bersimpati terhadap penduduk yang terjejas banjir di Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Pontian dan Kulai.
"Saya berharap semua mangsa banjir terus diberi kekuatan dan kesabaran, apatah lagi dalam musim persiapan menyambut Aidilfitri," katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, dalam satu kenyataan, hari ini.
NADMA melaporkan seramai 10,851 mangsa banjir ditempatkan di PPS di Johor, setakat jam 12 tengah hari tadi.
Sebanyak 93 PPS dibuka di lima daerah negeri itu dengan jumlah mangsa tertinggi direkodkan di Johor Bahru (4,319), diikuti Kluang (2,191), Kota Tinggi (1,762), Pontian (1,422) dan Kulai (1,157).
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) sudah menggerakkan aset pengoperasian bagi memastikan tindakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa banjir dilakukan sebaik mungkin.
Katanya, seramai 8,289 anggota bertugas, selain JBPN menyediakan 206 bot, 157 kenderaan utiliti sukan (SUV) atau van, 91 lori, 15 ambulans, dua pesawat udara dan satu dron bagi operasi banjir di Johor.
Beliau berkata, NADMA juga telah mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana pada 18, 19 dan 21 Mac, kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri serta daerah apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memberi amaran hujan berterusan.
"Notis itu bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana bakal berlaku di kawasan berisiko.
"Tambahan pula, negara dijangka memasuki fasa peralihan monsun dengan keadaan ini boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir yang boleh mengakibatkan hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh singkat.
"Perkara yang membimbangkan kita ialah fenomena ini boleh menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur tidak kukuh," katanya.
Justeru, Ahmad Zahid memohon semua pihak berkuasa, termasuk pejabat daerah dan agensi tindak balas, supaya melakukan pemantauan rapi di kawasan berisiko tinggi bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa akibat fenomena cuaca terbabit.
Beliau turut menasihati orang ramai sentiasa berwaspada serta peka dengan perubahan cuaca, sebelum merancang sebarang aktiviti, terutama pada musim perayaan tidak lama lagi.
"Saya juga berterima kasih kepada semua pihak serta komuniti setempat yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir dan menghulurkan bantuan serta sumbangan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban mangsa.
"Ini termasuklah kepada pertubuhan bukan kerajaan bawah Rakan NADMA seperti Pertubuhan Ihsan Johor dan 'Southern Volunteers' yang menggerakkan 200 sukarelawan bagi memberi tumpuan kepada bantuan segera makanan dan lain-lain bantuan bernilai RM175,000," katanya.
Orang ramai boleh melayari www.portalbencana.nadma.gov.my untuk mendapatkan laporan terkini dan sahih berkaitan bencana.