PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Mangsa banjir di Sabah lebih 4,000, Beaufort paling ramai

Mangsa banjir di Sabah lebih 4,000, Beaufort paling ramai

KOTA KINABALU: Setakat jam 4 pagi tadi, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah meningkat kepada 4,122 orang di lima daerah pedalaman yang dilanda banjir, berbanding 3,569 mangsa malam tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, daerah Beaufort kekal merekodkan jumlah paling ramai dengan 1,339 mangsa daripada 432 keluarga.

Selain itu, katanya seramai 1,031 mangsa daripada 305 keluarga di daerah Sook, 872 mangsa daripada 293 keluarga di daerah Membakut , 743 mangsa daripada 276 keluarga di Tenom dan 137 mangsa daripada 51 keluarga di Keningau.

Daerah Tenom adalah yang terbaru diisytihar kawasan bencana semalam selepas air Sungai Padas di daerah itu melimpahi tebing dan menenggelami puluhan kampung.

Semua mangsa dipindahkan di 20 PPS yang dibuka di kelima-lima daerah selepas berlaku limpahan air sungai secara mendadak sejak Jumaat lalu berikutan hujan berterusan di kawasan pedalaman.

Banjir turut menyebabkan laluan menghubungkan puluhan kampung di kelima-lima daerah terjejas dan tidak dapat dilalui, selain turut menyebabkan memutuskan jalan perhubungan antara beberapa daerah.

Hujan berterusan di pedalaman Sabah sejak minggu lalu turut mengakibatkan tanah runtuh di beberapa kawasan dengan kejadian berskala besar dilaporkan berlaku di Jalan Keningau – Kimanis hingga menyebabkan laluan menghubungkan kawasan pedalaman dan pantai barat Sabah itu tidak dapat dilalui sepenuhnya sejak kelmarin.

Bencana berkenaan membabitkan enam kawasan Parlimen yang merangkumi kawasan pedalaman Sabah, iaitu Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Keningau dan Pensiangan.

Difahamkan, hujan lebat berterusan dengan kadar yang tinggi mencecah 200 milimeter (mm) berbanding kadar biasa kira-kira 50 mm, selain fenomena air pasang tinggi hingga mencapai 2.5 meter menyebabkan banjir besar di lima daerah terbabit.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search