Bantu laksana aktiviti kesukarelawanan pasca banjir
- Admin UKK
- Berita
Bagi membantu kawasan yang terjejas dengan banjir, kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memutuskan untuk menggerakkan semula pasukan sukarelawan penjawat awam melibatkan semua kementerian, jabatan dan agensi.
Dikenali Skuad Ihsan Madani, ia bertujuan untuk membantu melaksanakan aktiviti kesukarelawanan semasa dan pasca banjir.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebelum ini turut memaklumkan, lebih 1,000 sukarelawan terdiri daripada penjawat serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam digerakkan ke tiga negeri bagi membantu penduduk terjejas banjir.
Katanya, kesemua sukarelawan itu dikumpulkan di bawah Skuad Ihsan Madani sebagai antara strategi tindakan pascabanjir dilaksanakan kerajaan.
“Kami mewujudkan Skuad Insan Madani. Mereka turun ke enam daerah di Kelantan, dua di Kedah dan Terengganu untuk memberikan bantuan pascabanjir,” katanya.
Skuad Ihsan Madani juga mendapat pujian daripada Anwar dengan memuji semangat ditonjolkan oleh penjawat awam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam memastikan penyelarasan dari pelbagai aspek dilaksanakan lebih awal agar persiapan lebih baik dalam membantu mangsa banjir dengan cepat dan teratur.
Anwar dipetik berkata, kesiapsiagaan berbulan sebelumnya itu menjadikan misi bantuan banjir kali ini dilaksanakan dengan berkesan dan kebanyakannya dilaksanakan oleh jentera kerajaan di peringkat persekutuan, negeri, perbandaran, daerah dan jajahan di Kelantan.